Majlis berkuat kuasa berdasarkan kuasa Waris Negeri dan Dato-Dato Lembaga Adat Sungei Ujong dengan restu perkenan Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong mengikut Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 32 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Selaras dengan sifat-sifat khusus Pembesar Adat yang dijamin menerusi Perkara 19(6)(c) dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, Majlis sebelum ini wujud sebagai “Sungei Ujong State Council” sejak 1883 diberi nafas baru sebagai “Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong” atau dalam bahasa Inggeris “Sungei Ujong Customary Council” pada 9hb Mac 2022.
Anggota-anggota S.U.C.C.C yang terdiri daripada Pembesar-Pembesar Adat dan Waris hendaklah membantu, mendukung, bermuzakarah, memberikan pandangan dan taat setia kepada Kebawah Kaus YTM Dato’ Klana Petra bagi menjalankan tugas-tugasnya selaku Undang Luak Sungei Ujong dan Raja bersama bagi Negeri Sembilan Darul Khusus.
Ada pendapat sejarah menyatakan bahawa Sungei Ujong, nama lama untuk bandar Seremban tidak ada kena mengena dengan kewujudan sungai.
Ia telah wujud lama di Tanah Melayu, lebih purba dari yang kita tahu. Sungei Ujong berasal daripada perkataan ‘Sang Hyang Hujung’.
Tempat ini wujud di dalam catatan Nagarakartagama semasa era Majapahit, ditulis pada 1365.
Ia juga ditulis sebagai ‘Suneujon’ di dalam rekod peta dan kartografi Eredia seawal 1613.
Kajian lanjut teks klasik Jawa itu juga mengesahkan Sang Hyang Hujung itu adalah sebuah negeri dan mempunyai kerajaan sendiri.
Di dalam Sulalatus Salatin, ia ditulis sebagai سنيڠ هوجڠ kemudian dirumikan dalam Sejarah Melayu versi Shellabear sebagai ‘Sening Ujong’, manakala di dalam versi Leyden ia dieja sebagai ‘Senyang Ujong’.
Berdasarkan teori William Marsden pada 1784 mengenai sejarah Sumatera, diandaikan Sungei Ujong wujud dalam 1260-an ketika tempoh antara era kejatuhan Kerajaan Sriwijaya dan kebangkitan Kerajaan Singhasari yang seterusnya menjadi Kerajaan Majapahit.
Teori Marsden itu diperkukuh lagi dengan pandangan Richard Olaf Winstedt memetik Tom Pires yang mengatakan telah ada Mandulika di Sungei Ujong pada abad ke-14. Winstedt berpendapat Mandulika itu bermaksud gabenor dalam bahasa Sanskrit.
Apabila dipadankan dengan artifak ditemui di Terengganu, jelas Sungei Ujong telah ada orang besar dipanggil Mandulika pada zaman Sriwijaya.
Ketika ini memang ada orang besar Sungei Ujong bergelar Dato’ Andulika Mandulika yang berperanan sebagai Tua Lembaga Waris di-Darat dan Tua Lembaga Tiang Balai Undang Luak Sungei Ujong. Teorinya, Dato’ Andulika Mandulika itu adalah warisan perjawatan Mandulika Sungei Ujong zaman Sriwijaya.
Babad Jawa naskah Pustaka Raja-raja Bumi Nusantara yang kontroversi itu pula menyatakan keberadaan Sungei Ujong sebagai negeri direkodkan seawal 1275 Masihi.
Jika diambil tahun yang direkodkan Babad Jawa berkenaan, usia Sungei Ujong ketika ini adalah 747 tahun, kedua tertua selepas Kesultanan Kedah. Hal ini juga menjadikan luak Sungei Ujong adalah luak tertua sekali.
Rekod-rekod ini jelas menunjukkan bahawa negeri Sungei Ujong pernah menjalin hubungan atau dilindungi beberapa kerajaan besar bermula daripada kerajaan Sriwijaya, Majapahit dan kemudiannya sebagai wilayah di dalam Kesultanan Melayu Melaka.
Sehubungan itu, berkemungkinan besar sudah ada pemerintah Sungei Ujong bawah naungan kerajaan-kerajaan besar Nusantara ini, sebelum adanya penghulu menteri bawah Sultan Iskandar Shah atau Parameswara seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu.
Teks Sejarah Melayu versi Raffles MS no. 18 mengenai Sungei Ujong menyebut:
“Maka Sultan Iskandar Shah pun berpindah dari sana lalu mendarat. Berapa hari dijalan maka terus ke Sening Ujong. Maka dilihat baginda tempat itu baik, maka ditinggalkannya seorang menteri di sana. Itulah maka tempat itu bermenteri datang sekarang.”
Berdasarkan teks Sejarah Melayu itu, dipercayai Sultan Iskandar Shah mengiktiraf atau memperakui pemimpin Sungei Ujong yang sememangnya telah ada sebagai wakilnya sebelum baginda membuka Melaka.
Perkataan ‘ditinggalkannya’ itu diyakini bermaksud perakuan atau pengiktirafan dan bukannya melantik atau meletakkan pemimpin di negeri Sungei Ujong, memandangkan teks Jawa dan rekod-rekod lama menunjukkan Sungei Ujong sudah menjadi negeri semasa zaman Kerajaan Sriwijaya, Singhasari dan Majapahit.
Sang Hyang Hujung bermaksud ‘Kepala Tuhan’ pernah ditulis oleh Sultan Abdul Samad pada tahun 1880 sebagai kawasan yang menganjur dari Sepang sehingga Linggi, selari dengan kawasan Tanjung Tuhan atau Tanjung Tuan kini, atau ketika zaman British dinamakan sebagai Cape Rachado.
Malah, jika dikaji pada kedudukan geografi, titik tengah antara dataran yang menganjur dari utara ke selatan inilah terletaknya bandar Seremban, yang nama asalnya ialah Sungei Ujong.
Hari ini, nama Sang Hyang Hujung atau Sungei Ujong diabadikan di dalam nama salah satu daripada empat luak di Negeri Sembilan iaitu Luak Sungei Ujong. Luak Sungei Ujong tidak hanya Seremban, tetapi meliputi seluruh daerah Seremban dan Port Dickson (Tanjung Tuan).
Ia menerangkan mengapa sebelum British tiba mencampuri urus tadbir Tanah Melayu, Luak Sungei Ujong asalnya ditadbir oleh dua nakhoda iaitu Dato’ Klana Petra dan Dato’ Syahbanda, membezakan pentadbiran luak ini dengan luak-luak lain di Negeri Sembilan suatu ketika dahulu.
Dato’ Klana Petra adalah gelaran bagi pemerintah yang menguasai wilayah daratan dan lautan, manakala Dato’ Syahbanda pula adalah gelaran bagi orang besar yang menguasai pekan dan bandar.
Laluan sungai dan wilayah lautan diamanahkan dan dipegang oleh Dato’ Orang Kaya Laksamana Raja Laut (Waris Klana Sungei Ujong)
Penjelasan ini turut menjawab mengapa tidak pernah ada sungai yang mengalir di dalam daerah Seremban ini dengan nama Sungei Ujong.
Kesimpulannya, Negeri Sembilan ini sebenarnya bermula dengan kerajaan Sungei Ujong sejak 700 tahun lalu, diikuti luak-luak lain. Raja Melewar yang dicatat dipertuankan pada 1773 hanya kesinambungan dan lambang konfederasi kerajaan-kerajaan luak purba sedia ada.
Nota 1: Penemuan makam Nenek Janggut Siti Mariam di tanah perkuburan Kampung Anak Air Garam, Mambau membuktikan Luak Sungei Ujong sudah berkerajaan sejak abad ke-9 Masihi. Batu nisan pada makam Nenek Janggut Siti Mariam bertarikh 324 Hijrah yakni bersamaan dengan 930/931 Masihi.
Nota 2: Tapak perkuburan Pengkalan Kempas di Linggi (dalam Luak Sungei Ujong) dianggarkan bertarikh sekitar abad 14-15 M berdasarkan pentarikhan secara relatif kubur Syeikh Ahmad Majnun yang mempunyai pentarikhan kematian sekitar 1467 Masihi.
Nota 3: Batu megalit di Pengkalan Kempas wujud sejak abad ke-2 dan ke-3 Masihi. Batu itu unik kerana berbentuk kemudi, sudu (payung) dan pedang (keris) yang dikaitkan dengan kepimpinan dan adat purbakala Sungei Ujong dan Negeri Sembilan amnya. Ia membuktikan wujudnya kedatuan/kerajaan di Sungei Ujong pada zaman purbakala.