Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

bangunan
warisan

100%

Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar

BALAI UNDANG DI AMPANGAN LAMBANG KUASA DATO' KLANA PETRA

Balai Undang Luak Sungei Ujong dengan seni bina kolonial di Ampangan, Seremban dibina ketika pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Muhamad Kasim bin YM Dato’ Andulika Mandulika Abdul Rashid pada tahun 1950-an.

Sebelum itu, bangunan Balai Undang berkenaan diperbuat daripada kayu, melainkan tangga hadapan daripada batu. Seni binanya mengikut prinsip binaan rumah Melayu Negeri Sembilan tradisional berbumbung panjang.

Bangunan Balai Undang Luak Sungei Ujong daripada kayu itu dibina antara 1910 hingga 1915. Ia dibina di tanah dibeli sendiri YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin YM Dato’ Menteri Kassim dengan keluasan 2.8 hektar.

Bangunan Balai Undang di Ampangan itu asalnya terdiri daripada balai kediaman, balai memanjang dan balai melintang.

Ketika YTM Dato’ Klana Petra Muhamad Kasim mula memerintah, beliau tinggal di Balai Undang daripada kayu itu kurang 12 bulan atas alasan kurang selesa dengan Balai Undang itu.

Beliau kemudian berpindah ke banglo milik kerajaan di Taman Tasik Seremban, yang dijadikan Balai Undang. Susulan perpindahan itu, YTM Dato’ Klana Petra Muhamad Kassim mengarahkan Balai Undang Sungei Ujong di Ampangan daripada kayu itu diroboh pada awal dekad 1950-an, iaitu sebelum merdeka dan digantikan dengan banglo dua tingkat daripada batu.

Balai Undang itu direka sendiri YTM Dato’ Klana Petra Muhamad Kassim dan anak lelakinya dengan seni bina kolonial. Bagaimanapun, orientasi bangunan dibina menghadap matahari terbit, mengikut kepercayaan Melayu sebagai tanda murah rezeki kepada penghuninya.

Selepas bangunan siap dibina, YTM Dato’ Klana Petra Muhamad Kassim tinggal di situ, tetapi hanya beberapa bulan dan berpindah semula ke banglo milik kerajaan yang didiaminya terdahulu. Banglo milik kerajaan itu terus dijadikan Balai Undang sehingga beliau meninggal dunia.

Berikutan itu, bangunan Balai Undang Luak Sungei Ujong di Ampangan kosong beberapa tahun sebelum menjadi pejabat Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan.

Apabila YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Dohak memerintah pada 1994, beliau tinggal di Balai Undang di Ampangan itu kerana mahu meneruskan legasi YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor.

Pada 2002, bangunan tambahan dibina pada bahagian hulu Balai Undang itu. Bangunan tambahan berkenaan menempatkan Dewan Mengadap, Pejabat Undang dan Bilik Mesyuarat dan Pejabat Setiausaha Undang.

Pembinaannya dilaksana kontraktor lantikan JKR Negeri Sembilan. Pembinaan bangunan tambahan itu menjadi ganti kepada balai melintang dan balai memanjang yang diroboh dalam 1950-an.

Sejak pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Mubarak, Balai Undang Luak Sungei Ujong di Ampangan memainkan peranan besar terhadap kekuatan institusi Raja di Negeri Sembilan.

Balai Undang berkenaan sering menjadi lokasi pertemuan antara Dato’ Undang Yang Empat membincangkan ehwal Raja-Raja termasuk perkara berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam, Adat Melayu dan pentadbiran di Negeri Sembilan.


Nota 1: Balai YTM Dato’ Klana Petra Muhamad Kassim di Taman Tasik Seremban kini dijadikan Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sumber penceritaan:
1) Raja Nafida Raja Shahminan.(1999). Evolusi Seni Bina Balai Adat di Negeri Sembilan. Disertasi Sarjana Universiti Malaya.
2) Raja Nafida Raja Shahminan.(2012). Wawancara di Pusat Kajian Alam Bina Dalam Melayu, UTM Skudai pada 26 April 2012.
3) Hasnim Baharin. Wawancara di Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan, Wisma Negeri, Seremban, Negeri Sembilan pada 9 Jun 2014.
4) Dato’ Lela Bangsa Ahmad Razin Abdul Aziz. Wawancara di Batu 7 Pantai, Negeri Sembilan pada 22 Oktober 2014.
5) Dato’ Andika Mendulika Zainol Ariffin Ibrahim. Wawancara di Balai Undang Sungei Ujong, Ampangan, Negeri Sembilan pada 10 Januari 2015.
6) Dato’ Orang Kaya Laksamana Shaharumzaman Abdul Malik. Wawancara di Batu 9 Pantai, Negeri Sembilan pada 11 Januari 2015.

Kongsikan:

Hak Cipta © 2023 Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong