Sejarah
sungei Ujong
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
100%
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar
Umum berpandangan Biduanda (Beduande) adalah salah satu suku di Negeri Sembilan. Dikatakan suku Biduanda ini wujud akibat perkahwinan campur antara Orang Asal dengan orang Minangkabau.
Namun bagi Luak Sungei Ujong, Biduanda (Beduande) bermaksud gelaran yang merujuk kepada waris berketurunan Orang-orang Besar, khususnya keturunan Seri Nara Diraja dan Bendahara-bendahara Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga.
Bagi Waris Klana (YM Dato’ Johan dan YM Dato’ Maharaja Lela), Waris Seri Maharaja Diraja lagi Banda (YAM Dato’ Shahbanda) dan Waris Andulika Mendalika (YM Dato’ Andulika Mendalika Dan YM Dato Sinda Maharaja), salasilah mereka daripada susur galur Bendahara Sekudai. Berdasarkan keturunan ini, mereka dipanggil Biduanda (Beduande) kerana berketurunan Orang-orang Besar di istana Kesultanan Johor Lama suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun ketiga-tiga Waris ini dikenali sebagai Waris Negeri bagi Luak Sungei Ujong bermula pada zaman pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Maamor bin Dato’ Menteri Kassim, Undang Luak Sungei Ujong (1889 -1945).
Berdasar Sejarah Melayu, gelaran Biduanda (Beduande) sudah lama wujud. Ia dikesan sudah digunapakai sejak zaman Kerajaan Singapura Lama sekitar abad ke-13 Masihi, lama sebelum penghijrahan orang-orang Minangkabau ke Tanah Melayu. Berdasarkan buku Tasjil Anis Salatin, Biduanda (Beduande) adalah gelaran yang merujuk kepada anak-anak keturunan Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, Laksamana dan keturunan Orang-orang Besar Negeri Sembilan.
Perkataan Biduanda (Beduande) itu sudah pun menunjukkan bahawa ia perkataan yang sangat lama. Berkemungkinan perkataan itu diambil daripada bahasa Melayu kuno. Jika diteliti, Yamtuan Besar pertama, Raja Melewar yang dijemput ke Tanah Mengandung pada pertengahan tahun 1700-an, manakala nama suku-suku di Negeri Sembilan diambil dari tanah ataupun daerah besar di Sumatera Barat.
Sebagai contoh, suku Batu Hampar diambil sempena kedatangan orang-orang dari daerah Batu Hampar di Pagar Ruyong. Semakan mendapati tiada tempat atau daerah bernama Biduanda (Beduande) di Sumatera Barat. Semakan dalam Bahasa Minangkabau Kuno dan Kamus Batak kuno juga tidak pernah wujud perkataan Biduanda (Beduande). Di dalam Kamus Melayu Langkat ejaan Biduanda yang sebenar adalah ‘Beduande’ dan mentafsirkan sebagai tingkat Kebangsawanan. Hal ini menunjukkan Biduanda (Beduande) sememangnya perkataan Melayu asal digunakan di Sungei Ujong untuk merujuk kepada anak-anak Bendahara Sekudai (Tok Kelambu, Tok Musang, Tok Semerga & Tok Seri Mani).
Di dalam Terombo Dato’ Batin Jempol, ada disebut gelaran Biduanda (Beduande) itu berasal daripada gelaran orang yang bertaraf pegawai yang bertugas di dalam istana Raja-raja Melayu. Selain Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, memang terdapat gelaran Biduanda (Beduande) di dalam hikayat-hikayat lama yang merujuk adanya pegawai dalam istana zaman dahulu itu yang dipanggil ‘Biduanda’ (Beduande) khususnya di istana Temasik dan Melaka. Biduanda (Beduande) istana ini diberi gelaran Hang bagi lelaki manakala perempuan pula diberi gelaran Dang.
Justeru, berdasarkan riwayat Sungei Ujong, catatan sejarah dan salasilah, hikayat-hikayat lama Melayu perkataan Biduanda (Beduande) di Sungei Ujong itu sebenarnya merujuk kepada Waris Berketurunan Orang-orang Besar dan bukannya Suku hasil perkahwinan campur antara Orang Asal dengan orang Minangkabau dari Sumatera.
Nota 1: Hikayat Hang Tuah menceritakan Hang Tuah dilantik sebagai Biduanda (Beduande) Istana Melaka sebelum menjadi Dato’ Orang Kaya Laksamana
Nota 2: Biduanda (Beduande) itu adalah Orang-Orang kepercayaan Sultan Atau Raja.
Nota 3: Biduanda (Beduande)Itu adalah Anak-Anak Bendehara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana.
Nota 4: Anak Perempuan Raja yang berkawin dengan orang kebanyakan melahirkan anak digelar Biduanda (Beduande)
Nota 5: Ejaan lama Biduanda ialah Beduande bermaksud Tingkat Kebangsawanan
Nota 6: Jadi Dimana Timbulnya Perkataan Suku???
Allahumasolli Ala Saidina Muhammad..
Rujukan:
1) Sulalatus Salatin
2) Hikayat Hang Tuah
3) JMBRAS Vol 18 ‘Malay Titles’ oleh R.O Winstedt, 1940
4) JDH Vol 6 ‘Kaum Wanita Di Zaman Kesultanan Melayu Melaka: Antara Batasan Tradisi Dan Realiti’ oleh Mahani Musa, 1998
5) JSAS Vol 32 ‘Rules for Rulers: Obscure Texts, Authority, and Policing in Two Malay States’ oleh Timothy P. Barnard, 2001
6) JESS Vol 3 ‘Strategi Kepengarangan Melayu Tradisi Sebagai Lambang Akal Budi Bangsa Yang Tinggi oleh Norazimah Zakaria, 2016
7) Rahsia Agung Melaka oleh Farahana Shuhaimi, 2018
8) Bahasa Minangkabau, Bahasa Melajoe Riau. Penulis: M.Thaib gl. ST. PAMOENTJAK. BALAI PUSTAKA BATAVA
9) Kamus Melayu Langkat, Kamus Melayu Deli, Kamus Melayu Sumatera – Beduande Tingkat Kebangsawanan.