Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Sejarah
sungei Ujong

Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.

100%

Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar

Dato Undang Berkeadilan

Sistem kenegaraan Malaysia ialah ‘raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen’. Namun tahukah anda Sungei Ujong juga ada sistem tatanegara tersendiri yang diasaskan sejak ratusan tahun lalu?

Sistem kenegaraan Sungei Ujong ialah ‘berkeadilan, berundang, berteromba dan bersalasilah’. Apa maknanya?

Berkeadilan:
Ia bermaksud YTM Dato’ Klana Petra berkuasa memutuskan sesuatu perkara dipersembahkan kepadanya sesudah dibincang dan dibahas di Telaga Undang (Parlimen bagi Sungei Ujong).

Kuasa berkeadilan YTM Dato Klana Petra juga boleh diguna dalam Dewan Keadilan dan Undang susulan kedudukannya sebagai ‘imam’ atau ‘abang tua’ dalam hierarki YTM Undang Yang Empat.

Turut diistilah sebagai kuasa ‘memancung’, YTM Dato Undang menjalankan kuasa berkeadilan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dalam memutuskan sebarang perkara diusul.

Di luak, YTM Dato Klana Petra dalam melaksanakan keadilan perlu mendapatkan kata ‘sah’ daripada YM Dato’ Andulika Mandulika Tua Lembaga Waris di-Darat dan YM Dato’ Johan dan YM Dato’ Maharaja Lela Lembaga Waris Klana.

Ia sesuai dengan peruntukan dalam Undang-undang Sungei Ujong (undang-undang Melayu lama abad ke-14) yang diharmonikan dengan kata-kata adat – Sah batal kepada Lembaga, hidup mati kepada Undang.

Dalam melaksanakan keadilan juga YTM Dato’ Klana Petra mesti bertindak adil menimbang kata-kata Tua Lembaga Waris di-Darat dan Lembaga Waris Klana (selaras mengikut peruntukan-peruntukan di dalam Undang-undang Sungei Ujong).

Berundang:
Bermaksud Sungei Ujong mengangkat Dato’ Klana Petra sebagai Undang menjadi tunggak pemerintahan negeri. Ia juga bermakna apabila Undang itu ada, institusi berkenaan berkerajaan dan ada tatanan pembesar-pembesarnya.

Antaranya Dato’ Lembaga Tiang Balai, Dato’ Lembaga Waris. Dato Lembaga Bergajah Tunggal, Dato Lembaga Lingkungan, ibusoko-ibusoko dan To’-To’ Buapak. Ia meliputi semua lingkungan dalam jajahannya (daerah Seremban dan Port Dickson).

Berteromba:
Ia bermaksud pemerintahan dan pentadbiran berdasarkan teromba ditulis, diwarisi dan dikemaskini oleh Waris Klana. Kuasa Undang umpama berpucuk ke langit berakar ke bumi. Sehubungan dengan itu, daripada kuasa dan baiah Ibusoko Klana dan Waris Klana, maka YTM Dato’ Klana Petra dapat melaksana amanah pemerintahan di Sungei Ujong dan Negeri Sembilan bersama-sama YTM Dato’ Undang lain serta YTM Tunku Besar Tampin dan YAM Tuan Besar.

Di dalam teromba, terkandung cerita asal usul Sungei Ujong dan catatan peristiwa-peristiwa penting negeri yang menjadi pedoman buat YTM Dato’ Klana Petra, Ibusoko Klana dan Waris Klana untuk menjalankan amanah pemerintahan di Sungei Ujong.

Ia sejajar dengan kata-kata hikmah – “Mereka yang tidak belajar sejarah pasti akan mengulangi kesilapan lampau”

Bersalasilah:
Pemilihan pemerintah-pemerintah Sungei Ujong didasari berpandukan garis keturunan. Telah ditetapkan, hanya anak cucu Dato’ Bendahara Skudai Bendahara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang boleh memerintah Sungei Ujong. Dikenali Waris Negeri pada masa kini, kedudukan mereka terpelihara dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Lazimnya, Ibusoko Klana dan Waris Klana berketurunan Dato’ Klana Petra terdahulu dan berketurunan Dato’ Undang serta pembesar-pembesar Melayu dalam salasilah diutamakan untuk memegang amanah pemerintahan negeri.

Nota 1: Jelebu memakai sistem ‘Berkeadilan, berundang dan berlembaga’. Johol memakai sistem ‘Berundang bersalasilah berteromba’. Rembau memakai sistem ‘Berundang berlembaga’.

Nota 2: YAM Tuan Besar hanya ‘Berkeadilan’.

Nota 3: Dinamakan Dewan Keadilan dan Undang kerana ia merujuk kepada kuasa-kuasa berkeadilan YTM Dato’ Klana Petra Sungei Ujong, YTM Dato’ Undang Jelebu dan YAM Tuan Besar, selain kedudukan YTM Dato’ Undang Johol dan YTM Dato’ Undang Rembau sebagai Dato’ Undang. Sebagai badan tertinggi dalam Negeri Sembilan, ia berkuasa memutuskan hal ehwal Adat Melayu Negeri Sembilan dan pewarisan pemerintah negeri serta ehwal agama Islam.

Nota 4: Tatanan kenegaraan Sungei Ujong hendaklah dibaca dan difahami bersama klausa Fasal 32 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Jadual Kelapan dan Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan; yang menjamin perjalanan Adat Purbakala tidak terjejas dan tidak boleh disentuh.

Sumber penceritaan:
1. YM Dato’ Johan Tua Tahu, Telaga Undang, Batu 9 Pantai, Seremban, 1 Januari 2024
2. Undang-undang Sungei Ujong kurun ke-14
3. JSBRAS No 83, Sungai Ujong, RJ Wilkinson, 1921
5. JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
6. Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
7. Perlembagaan Persekutuan

Kongsikan:

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong