bangunan
warisan
100%
Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar
Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan pada asalnya telah dibina pada 1840 iaitu pada zaman YTM Dato’ Klana Petra Kawal bin YAM Dato’ Shahbanda Megat.
Masjid ini dibaiki serta diubahsuai oleh YTM Dato’ Klana Petra Sendeng bin YAM Dato’ Syahbandar Megat yang menjadi Dato’ Undang Luak Sungei Ujong antara 1850 hingga 1872.
Pada 1928, YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin Dato Menteri Kassim, Dato’ Undang Luak Sungei Ujong kelapan membina semula dengan bangunan masjid dengan batu yang menjadi induk masjid sekarang ini. Dianggarkan perbelanjaan pembinaannya sebanyak $2,500 Straits dolar waktu itu.
Tapak masjid diwakafkan Tok Mukim. Atas nasihat YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Dohak, nama masjid ditukar kepada Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng pada Oktober 1995.
Masjid ini dibaiki dan dinaik taraf pada 1963, 1978, 1991, 1993 dan terbaharu pada 2022. Semasa dibina, ahli jemaah seramai 300 dan kini bertambah seramai 3,000 orang. Masjid ini mengawal selia satu tanah perkuburan dan lapan surau.
Masjid dibina mengikut konsep tempatan iaitu bumbung bertangkup tiga lapis dan mempunyai mahkota di puncaknya. Konsep ini menyerupai masjid-masjid di Melaka, Pahang dan Kelantan.
Bangunan induknya berbentuk segi empat dan terdapat penambahan di bahagian kanan masjid sebagai penyambung ruang bagi menampung jemaah pada satu-satu masa.
Bangunan induk didirikan dengan batu konkrit tahan lama. Masjid ini masih kukuh dan ia antara masjid terkenal di Negeri Sembilan.
Nota 1: YTM Dato’ Klana Petra Sendeng merupakan adinda kepada YTM Dato’ Klana Petra Kawal. Kedua-duanya anakanda kepada YAM Dato’ Syahbandar Megat.
Nota 2: YTM Dato’ Klana Petra Sendeng, YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor dan YAM Dato’ Syahbandar Abu Bakar bin Osman dimakamkan di perkarangan masjid berkenaan.
Nota 3: Kawasan bukit (Bukit Ampangan/Taman Murugesu) seberang Jalan Seremban-Jelebu berhadapan Masjid Dato’ Klana Petra Sendeng merupakan tapak Balai Undang Luak Sungei Ujong semasa zaman pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman al-Qadri sekitar 1870-an.
Sumber:
1. Masjid Ampangan tertua di-Negeri Sembilan hasil usaha Dato Kelana, muka surat 4, Berita Harian, 2 Januari 1959.
2. Portal Masjid Malaysia JAKIM, 2023.
Semua negeri-negeri Melayu mempunyai masjid dengan gelaran sultan atau raja, namun Sungei Ujong terdapat masjid dengan gelaran pemerintah dan pembesarnya.
Negeri-negeri Melayu lain yang ada gelaran sultan atau raja itu dikategorikan sebagai masjid diraja, tetapi di Sungei Ujong masjid dengan gelaran pemerintah dan pembesar merupakan masjid adat.
Sehingga kini, terdapat enam masjid dalam Sungei Ujong yang dinamakan bersempena nama pemimpin atau gelaran adat Luak Sungei Ujong. Masjid-masjid itu ialah:
1) Masjid Jamek Dato’ Kelana Petra Sendeng, Ampangan: Masjid ini dibina pada 1840 dan diubah nama pada 1995 dengan nama Dato’ Undang Luak Sungei Ujong kelima.
2) Masjid Jamek Dato’ Bandar Haji Ahmad, Rasah: Masjid ini dibina pada 1800 dan merupakan antara masjid tertua di Negeri Sembilan. Ia dinamakan sempena pengasasnya, YAM Dato’ Shahbanda Haji Ahmad bin Ali yang meninggal dunia pada 1927 dan dikebumikan di perkarangan masjid tersebut.
3) Masjid Dato’ Klana Petra Dato Haji Mubarak, Sungai Landak, Ampangan: Masjid ini dibina pada 1981 dan diubah nama kepada nama Dato’ Undang Luak Sungei Ujong ke-10 iaitu YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Dohak.
4) Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat: Masjid ini dibina pada 2000 dan dinamakan dengan nama Dato’ Undang Luak Sungei Ujong ketujuh.
5) Masjid Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong, Putra Nilai, Bandar Baru Nilai: Masjid ini dibina pada 2003 dengan nama Masjid Bandar Baru Nilai dan diubah nama kepada Masjid Putra Nilai pada 2007. Pada 2017, masjid ini dimasyhurkan dengan gelaran pemerintah Sungei Ujong.
6) Masjid Dato’ Penghulu Menteri Sungai Ujong, Kuarters KLIA, Nilai: Masjid ini dibina pada 1998 dan dirasmikan pada 2018 dengan pengisytiharan nama Dato’ Penghulu Menteri Sungei Ujong, iaitu gelaran lama pemerintah Sungei Ujong sebelum gelaran Dato’ Klana Petra digunakan.
Nota 1: Semua masjid adat dan masjid jamek di Luak Sungei Ujong dan seluruh jajahannya (meliputi daerah Seremban dan daerah Port Dickson) adalah di bawah kuasa mutlak YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.
Nota 2: Pihak berkuasa agama negeri perlu mendapatkan perkenan YTM Dato’ Undang Luak Sungei Ujong berkenaan segala urusan yang penting berkaitan masjid adat dan masjid jamek dalam Luak Sungei Ujong dan jajahannya.
Sumber:
Hak Cipta © 2023 Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.