Selaras dengan sifat-sifat khusus pembesar adat dijamin Perlembagaan Persekutuan, Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong membantu pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra sebagai Undang Luak dan Raja bersama Negeri Sembilan.
Kedudukan YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong selaku Raja bersama bagi Negeri Sembilan jelas mengikut Perkara 71 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu:
Perkara 71.
(1) Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.
(2) Fasal (1) hendaklah, dengan ubah suaian yang perlu, terpakai berhubung dengan seseorang Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan sebagaimana Fasal itu terpakai bagi Raja sesuatu Negeri.
Perkara 160.
“Pihak berkuasa awam” ertinya Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan sesuatu Negeri, pihak berkuasa tempatan, pihak berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang diletakhakkan padanya oleh undang-undang persekutuan atau Negeri, mana-mana mahkamah atau tribunal selain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa yang dilantik oleh atau yang bertindak bagi pihak mana-mana orang, mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa itu;
“Raja”—
(a) berhubung dengan Negeri Sembilan, ertinya Yang di-Pertuan Besar yang bertindak bagi pihak dirinya sendiri dan Pembesar-Pembesar Memerintah mengikut Perlembagaan Negeri itu;
Perlembagaan Persekutuan mengukuhkan YTM Dato’ Klana Petra sebagai Raja berdaulat dan mempunyai prerogatif dan kuasanya dalam Luak Sungei Ujong di Negeri Sembilan berdasarkan Perkara 181 yang menyebut:
Perkara 181.
(1) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas. (RUJUK SEMULA TAKRIF PERKATAAN RAJA BAGI NEGERI SEMBILAN DALAM PERKARA 160 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN)
Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong juga sebahagian Perkara 32 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menyebut:
Fasal 32.
Dikecualikan sebagaimana yang ada dinyatakan dalam ini, maka Bahagian ini tiadalah menyentuh aturan dan adat Negeri Sembilan zaman purbakala, tetapi aturan dan adat zaman purbakala itu mana-mana yang tidak berlawanan kehendaknya dengan Bahagian ini akan berjalan seperti dahulu juga.
Kuasa Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong di sisi undang-undang sejak sebelum Hari Kemerdekaan (yakni sejak zaman purbakala) diperakui, diiktiraf dan diperkukuh berdasar takrifan pada Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu:
Perkara 160.
“Undang-undang” termasuklah undang-undang bertulis, common law setakat yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya
“Undang-undang yang sedia ada” ertinya mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya sebaik sebelum Hari Merdeka;
Kuasa-kuasa Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong terangkum dalam kedudukan dan sifat-sifat khusus pembesar-pembesar Adat Zaman Purbakala di Negeri Sembilan. Perihal itu dimaktubkan menerusi Perkara 19 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:
Perkara 19.
(2) Peruntukan yang menyentuh pewarisan takhta dan kedudukan Pembesar-Pembesar Memerintah dan pembesar-pembesar adat Melayu yang seumpamanya tidak boleh dipinda oleh Badan Perundangan Negeri.
(6) Seksyen ini tidak menidaksahkan mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri ini yang menghendaki persetujuan mana-mana kumpulan orang terhadap apa-apa pindaan yang menyentuh—
(c) pelantikan dan sifat khusus bagi Pembesar-Pembesar Memerintah atau pembesar-pembesar adat Melayu yang seumpamanya dan anggota Majlis Penasihat mengenai agama atau adat atau badan yang seumpamanya;
(d) pengadaan, pengawalseliaan, pengesahan dan pelucutan pangkat, gelaran, kemuliaan, kebesaran dan kurniaan di sisi adat Melayu dan sifat bagi pemegang-pemegangnya dan pengawalseliaan balai-balai diraja dan istana-istana.
Dapat dilihat dengan jelas pada Perkara 19 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang menyebut kedudukan Pembesar Memerintah dan pembesar adat Melayu tidak boleh dipinda atau diubah oleh Dewan Undangan Negeri.
Kerajaan Negeri Sembilan HENDAKLAH membayar elaun seperti disyaratkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Ia tanda pihak berkuasa negeri memperakui, mengiktiraf dan memuliakan kuasa, kedudukan dan keandikaan institusi Dato-Dato Lembaga Sungei Ujong.
Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 Fasal 70 menyebut:
Fasal 70.
Selain daripada wang pemberian, gaji atau lain-lain wang yang dikenakan bayarannya oleh apa-apa syarat lain dalam Perlembagaan Negeri ini atau undang-undang Negeri ini daripada Kumpulan Wang Negeri maka hendaklah dibayar jua –
a) wang elaun Yang d-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat serta Tengku Besar Tampin dan lain-lain Dato’ Lembaga dan gaji Yang Dipertua Mesyuarat Dewan Negeri.
Kedudukan pembesar-pembesar adat Luak Sungei Ujong turut diiktiraf berdasarkan konvensyen undang-undang diperakui Kerajaan Britain dan Istana Buckingham menerusi perjanjian 1874, 1895, 1898, 1909 dan 1934.
Hal ini jelas seperti yang pernah dilaporkan oleh pegawai-pegawai British yang berkhidmat di Negeri-negeri Melayu Bersekutu selain perjanjian-perjanjian antara Undang dan pembesar-pembesar adat bersama Belanda dan British pada abad ke-18 dan ke-19.
Selain menolong pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra, Dato-Dato Lembaga Sungei Ujong bertanggungjawab ke atas kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam sentiasa terpelihara dan dihormati.
Dato’-Dato’ Lembaga Adat memainkan peranan menjalankan perintah YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong berkaitan urusan pentadbiran kerajaan, agama Islam dan adat Melayu serta kebajikan rakyat dengan menganggotai pelbagai penubuhan persatuan dan sebagainya.
Kedudukan Dato’-Dato’ Lembaga Luak Sungei Ujong tidak sama seperti luak-luak lain dalam Negeri Sembilan. Mereka diamanahkan YTM Dato’ Klana Petra menjaga jajahan Undang Luak Sungei Ujong meliputi keseluruhan daerah Seremban dan daerah Port Dickson.
Dato’-Dato’ Lembaga Luak Sungei Ujong juga bertanggungjawab ke atas kariah-kariah masjid dalam kawasan/lingkungan/jajahan diketuainya selain mengetuai hal ehwal adat. Ia disebut dalam Adat Purbakala Sungei Ujong:
Undang memerintah negeri
Lembaga memerintah lingkungan
Tua memerintah waris
Buapak memerintah anak buah
Ia amat berbeza dengan Dato’-Dato’ Lembaga di luak lain yang memerintah suku atau kelompok seperti difahami kebanyakan orang di Negeri Sembilan.
Dato’ Lembaga memerintah kawasan atau lingkungan sebenarnya amalan Adat Purbakala diwarisi kira-kira 700 tahun lalu. Secara perbandingan dengan negeri Melayu lain, boleh difahamkan seperti berikut:
Perak – Orang Besar wakil sultan di Jajahan
Pahang – Orang Kaya wakil sultan di Kawasan
Selangor – Orang Besar wakil sultan di Daerah
Sungei Ujong – Lembaga wakil Dato’ Klana Petra di Lingkungan
Sumber:
1) Perlembagaan Persekutuan
2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
3) JSBRAS Vol 28, Adat Sungei Ujong, 1895
4) JSBRAS Vol 53, Notes On Malay History oleh Blagden, 1909
5) JSBRAS Vol 83, Sungai Ujong oleh RJ Wilkinson, 1921
6) Treaties and Engagements Affecting the Malay States and Borneo, disunting Sir William George Maxwell & William Sumner Gibson, 1924
7) JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong oleh JM Gullick, 1949
8) JMBRAS Vol 42, The Relationship Between The Adat And State Constitutions of Negri Sembilan oleh MB Hooker, 1969
9) The Rulers of Malaysia, Tun Ahmad Sarji, Archipelago Press, 2011
10) A History of Selangor & Negeri Sembilan, RO Winstedt & RJ Wilkinson, 2021
11) Dewan Masyarakat Bil. 05/2023, Prerogatif dan Hak Memerintah Dalam Hal Ehwal Tanah, Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, 2023