PENUBUHAN DEWAN WARISAN SUNGEI UJONG
Dewan Warisan Sungei Ujong diasaskan oleh YM Dato-Dato Lembaga Luak Sungei Ujong, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Ia bertujuan menghargai serta memperjuangkan kelestarian warisan di Sungei Ujong khususnya dan Negeri Sembilan amnya.
Warisan budaya rencam dan pelbagai di luak purba ini dalam bentuk tampak dan tidak tampak menjadi wadah menyatupadukan rakyat Sungei Ujong terdiri daripada pelbagai waris, kaum dan keturunan.
Komponen warisan diperjuangkan termasuk dalam konteks bangunan, monumen, landskap, seni, budaya, pengetahuan, kemahiran, ekspresi, amatan dan representasi.
Dengan penuh kesedaran dan kepercayaan serta yakin akan kekuatan dan keistimewaan warisan Sungei Ujong yang diwarisi dari leluhur terdahulu menjadi suatu tanggungjawab dan amanah untuk dijaga, dipulihara, dipelihara dan diwariskan bagi generasi masa depan.
Maka setiap individu Melayu, Cina, India dan kaum lain di bawah pemerintahan YTM Dato’ Undang Luak Sungei Ujong perlu menggalas tanggungjawab untuk menyempurnakan peranan mereka sebagai pewaris dan penjaga warisan di luak yang dimiliki untuk kepentingan luak, negeri dan negara.