bangunan
warisan
100%
Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar
Rumah tradisional Melayu ini adalah rumah bumbung panjang Negeri Sembilan tertua di Malaysia. Dibina pada 1757, rumah ini Telapak Waris Klana di-Hulu Luak Sungei Ujong yang asal.
Terletak di Kampung Telaga Undang, Batu 9 Pantai, Seremban, rumah ini dipercayai Telaga Undang Luak Sungei Ujong yang pertama dan Balai YTM Dato’ Klana Petra Bador iaitu Dato’ Undang Sungei Ujong pertama. Sekurang-kurangnya lima YTM Dato Klana Petra daripada Waris Klana di-Hulu dan seorang YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Undang Luak Jelebu mempunyai hubungan dengan rumah ini iaitu:
YTM Dato’ Klana Petra Bador (1760-1780)
YTM Dato’ Klana Petra Leha (1780-1800)
YTM Dato’ Klana Petra Kawal (1824-1850)
YTM Dato’ Klana Petra Sendeng (1850-1873)
YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor (1889-1945)
YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Abdullah bin Panglima Muda Luk, Undang Luak Jelebu (1902-1945)
Rumah berkenaan juga menjadi saksi kekerabatan YTM Dato’ Klana Petra dengan pembesar Waris di-Ayer Sungei Ujong YAM Dato’ Syahbandar Megat dan Dato’-Dato’ Lembaga Luak Sungei Ujong seperti:-
YM Dato’ Orang Kaya Laksamana
YM Dato’ Andulika Mendulika
YM Dato’ Johan Tua Tahu Waris Klana di-Hulu Sungei Ujong
YM Dato’ Lela Bangsa Waris Klana di-Hilir Sungei Ujong
YM Dato’ Menteri Lembaga Tiga di-Pantai
YM Dato’ Penghulu Dagang Lembaga Lingkungan Lenggeng
Sejarah pemilikannya mengikut kepada Ibusoko kepada YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong yang mendiami rumah berkenaan, dikesan bermula Ibusoko kepada YTM Dato’ Klana Petra Leha bernama Toh Lembut (anak perempuan Dato’ Klana Petra Bador dan cucu YTM Dato Penghulu Menteri Cantik) pada awal abad ke-18.
Rumah berkenaan terus diperturun generasi Ibusoko Waris Klana di-Hulu seterusnya selama beberapa ratus tahun dan menjadi kemudian Telaga Undang. Antaranya oleh YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Hajah Bogdad melalui ibu beliau iaitu YM Ibusoko Klana di-Hulu Zainab, di mana beliau mewarisi rumah ini daripada ibunya iaitu YM Ibusoko Klana di-Hulu Banun.
Terdapat banyak catatan mengenai struktur rumah ini direkodkan pegawai-pegawai British di Negeri-negeri Selat dan Kerajaan Negeri Sembilan lantaran rumah ini kerap berlangsung istiadat Sungei Ujong dalam abad ke-19 dan abad ke-20.
Ketika ini, rumah ini diwarisi YM Ibusoko Waris Klana di-Hulu Noraziah binti YM Dato’ Lela Bangsa Haji Abdul Malek, yakni cucu kepada YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin Dato’ Menteri Kassim dan YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Abdullah bin Panglima Muda Luk yang berkahwin dengan YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Hajah Bogdad.
Untuk pengetahuan, rumah ini terletak hanya beberapa ratus meter daripada Telaga Undang Luak Sungei Ujong sekarang dan Telapak YTM Dato’ Klana Petra Mubarak bin Dohak. YM Ibusoko Waris Klana di-Hulu Noraziah juga mempunyai hubungan kekerabatan rapat dengan YTM Dato’ Klana Petra Mubarak.
Ukiran dan hiasan yang terdapat di rumah ini adalah hasil seni rupa tradisi Melayu. Pada amnya, ukiran-ukiran yang terdapat pada rumah ini terbahagi kepada dua jenis bahan. Ukiran pertama adalah ukiran kayu yang dapat dilihat dengan jelas pada papan cembungnya yang diperhalusi dengan corak bermotifkan flora Ukiran kedua pula terdiri daripada ukiran batu yang dapat dilihat pada bahagian tangga.
Ukiran pada permukaan tangga melambangkan keturunan pemilik rumah bersusur galur kepada Bendahara Kesultanan Melayu Melaka yang satu ketika dahulu menguasai Negeri Sembilan sebagai jajahan Kesultanan Melaka.
Reka bentuk dan hiasan rumah mencerminkan keperibadian dan status pemilik rumah sebagai Waris Negeri Luak Sungei Ujong. Seperti rumah ini, reka bentuknya sangat bercirikan rumah dalam golongan pemerintah. Maka setiap dinding sama ada pada bahagian luar serambi ataupun dalam serambi dihiasi dengan papan kembung. Penonjolan papan kembung adalah bertujuan untuk menimbulkan kesan kepentingan ruang tersebut. Antaranya untuk kegiatan rasmi yang berkaitan dengan sistem perundangan seperti membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan urusan masyarakat.
Pada kayu pengikat tiang pula ukiran bermotifkan kepada naga melambangkan kekuatan dan kekuasaan bagi pemilik rumah yang berjawatan tinggi dalam pemerintahan di luak Sungei Ujong. Riak-riak sungai diambil dan diterapkan kepada reka bentuk papan cantik dengan membuat ukiran separuh bulatan. Kayu berjalur enam digunakan untuk membentuk corak dan membingkaikan bukaan seperti pintu dan tingkap diselang-selikan dengan dinding yang menggunakan papan kembung.
Ukiran batu-bata digunakan pada bahagian luar terutamanya pada bahagian tangga utama. Tangga batu yang dihiasi dengan ukiran bunga pada bahagian tepi tangga dipercayai mempunyai perkaitannya dengan pengaruh dari zaman kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang menakluki hampir keseluruhan Tanah Melayu dan Sumatera.
Ciri-ciri asal bangunan masih lagi kelihatan walaupun sebahagian besarnya telah mengalami beberapa perubahan dan sebahagian daripada dapurnya telah dibina dengan bangunan baharu daripada batu. Di bahagian serambi, ruang ibu serta loteng masih lagi berada dalam keadaan yang baik. Ini membuktikan bahawa pemilik rumah berjaya mengekalkan keadaan asal meskipun ianya telah bertapak lebih 250 tahun.
Nota 1: Rumah Dato’ Laksamana Hajah Boghdad adalah bukti nyata seni bina asal Melayu Negeri Sembilan yang bersusur galur dari Empayar Kesultanan Melaka.
Nota 2: Susur galur keturunan pemilik rumah langsung tiada pertalian dengan pembesar Minangkabau melainkan pembesar Melayu Melaka dan kemudian Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga.
Nota 3: Justeru di mana Minangkabaunya?
Nota 4: Meski pelbagai catatan dan rekod rasmi bertulis wujud, rumah ini masih kekurangan perhatian daripada pihak berwajib (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri) untuk pemuliharaan dan pemeliharaan sebagai artifak dan bukti pensejarahan Melayu Sungei Ujong dan Negeri Sembilan
Sumber:
1) YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Shaharumzaman bin YM Dato’ Lela Bangsa Haji Abdul Malek, 2022.
2) JSBRAS, Adat Sungei Ujong, Ogos 1895
3) JMBRAS, Sungei Ujong, J.M Gullick, Mei 1949
4) Nostalgia Undang Abdullah Singa Jelebu, Yati Rahim, 2022.
Hak Cipta © 2023 Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.