Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Sejarah
Luak Jelebu

Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.

50%

Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar

Dato Abdullah Undang Jelebu Paling Masyhur

Kalau ke Jelebu tanyakan kepada siapa saja tentang almarhum YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Dato’ Abdullah bin Panglima Muda Luk Undang Luak Jelebu ke-12, semua penduduk Jelebu sama ada yang muda atau yang tua terasa semacam gerun bila menyebut nama almarhum Dato’ Abdullah.

Sekalipun almarhum sudah meninggal dunia hampir 35 tahun yang lalu (sewaktu cerita ini ditulis) tetapi bagi orang-orang Jelebu beliau baru saja meninggal dunia.

Demikianlah kesan kebesaran Dato’ Abdullah kepada penduduk Jelebu sehingga cerita berhubung dengan dirinya kekal turun-temurun daripada mulut ke mulut masyarakat Jelebu.

Almarhum Dato’ Abdullah merupakan Undang Luak Jelebu yang paling masyhur kerana keberaniannya serta ketokohannya yang tiada tandingan.

Dilahirkan di Mukim Peradong, asal beliau hanya seorang pekebun sayur serta pencari rotan dan damar, justeru pelantikannya sebagai Undang Luak Jelebu ke-12 pada 15 Februari 1902 iaitu selepas kematian Undang Luak Jelebu ke-11, Dato’ Syed Ali al-Jufri sesuatu yang tidak pernah dijangka.

Kemunculan Dato’ Abdullah sebagai Undang Luak Jelebu merupakan satu peristiwa yang di luar dugaan sama sekali. Ketika pulang dari kebun, beliau ke perkarangan rumah pegawai daerah Jelebu hanya untuk mendengar pengumuman bakal Dato’ Undang Jelebu sesudah kematian Dato’ Syed Ali.

Dalam kekecohan untuk memilih Dato’ Undang inilah nama Dato’ Abdullah dicadangkan oleh warisnya (Waris Berundang Perut Sarin). Sekalipun pelantikan Dato’ Abdullah ditentang oleh seorang warisnya bernama Abu Bakar namun tuah telah bersama beliau.

Dato’ Abdullah waktu itu berumur 33 tahun, diisytiharkan sebagai YTM Dato’ Undang Jelebu dengan tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Namun, diceritakan, Dato’ Syed Ali sebenarnya pernah memberi bayangan bahawa Abdullah bakal menjadi penggantinya. Pada suatu hari ketika melalui di kebun lelaki itu, Syed Ali berhenti, lalu menegur Abdullah: “Udahlah, buat apa menyangkul lagi Dollah, kau nanti kan jadi Dato’ Undang Jelebu ganti aku.”

Abdullah berhenti menyangkul. Beliau hanya menyambut teguran Syed Ali itu dengan senyuman, tidak menghiraukan kata-kata Undang Luak ke-11 itu walaupun disebut berulang kali. Bagi Abdullah itu hanya gurauan.

Bagaimanapun bagi orang-orang tua pada zaman itu, mereka menganggap setiap perkataan dari mulut Undang mengandungi daulat sebagaimana daulat seorang raja. Bermaksud, apabila Dato’ Undang sudah menyebut nama seseorang sebagai bakal penggantinya, selalunya ia menjadi kenyataan. Waulahu’alam.

Begitupun pelantikan itu tidak mendapat bantahan malah penduduk Jelebu menerima dengan tangan terbuka kerana mereka sangat mengenali sifat Abdullah yang warak, merendah diri, berbudi bahasa tapi tegas.

Malah, mereka cukup tahu anak muda itu bukan calang-calang orang, cuma beliau lebih mengambil sifat menyimpan kuku dan tidak menunjukkan belangnya. Bagi Abdullah, kehebatan yang dimiliki bukan untuk dipertonton sebaliknya hanya akan digunakan bila diperlukan.

Ketika pemerintahannya, jika Dato’ Abdullah minum di kedai, beliau akan membayarkan minuman untuk semua orang yang sama-sama minum di situ tetapi perangainya tidak mahu melihat siapa pun meninggalkan kedai minuman selagi beliau belum beredar.

Kalau didapati ada orang yang bangun terlebih dahulu ketika beliau sedang minum, maka orang itu dipaksanya membayar semua harga minuman.

Oleh itu, kalau beliau masih duduk di kedai minum, sekalipun sampai lima hingga enam jam, maka orang-orang lain yang ada di situ mestilah duduk di situ. Bagaimanapun tidak ada siapa pun berani menentang Dato’ Abdullah.

Bagaimanapun pernah juga Dato’ Abdullah bertengkar mengenai adat dengan Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Salleh (Kepala Talian Adat dan Lembaga Tiang Balai Undang Luak Jelebu) hingga sama-sama mencabut keris. Akibat perselisihan ini menyebabkan keberanian Dato’ Abdullah teruji juga.

”Kalau awak nak berkeras, kawan terajang awak tuk menteri” terkeluar kata-kata kesat daripada mulut Dato’ Abdullah sambil bangun untuk bertindak.

Dengan pantas Dato’ Menteri Salleh bangun mencabut keris sambil bertempik ”cuba awak terajang, kawan sumpah kaki awak dek pekung. Kawan abang awak adik!”

Kata-kata Dato’ Menteri Salleh ini menyebabkan Dato’ Abdullah berundur. Memang daripada salasilah keturunan dato’-dato’ di Jelebu bahawa Dato’ Undang itu ‘adik’ kepada Dato’ Menteri dan Dato’ Ombi Pangkal Maharaja Lela (Kepala Talian Pusaka dan Lembaga Tiang Balai Undang Luak Jelebu).

Kerana Dato’ Menteri Salleh itu sudah tua dan selalu uzur maka tidak lama kemudian dia pun meninggal dunia. Sumpahnya tetap tinggal di mana kaki Dato’ Abdullah kena kudis yang tidak dapat diubati sehingga akhir hayatnya.

Menurut cerita orang tua-tua kalau Dato’ Menteri Salleh sempat memaafkan tidaklah melarat kudis di kaki Dato’ Abdullah itu.

Keberanian dan kegarangan Dato’ Abdullah itu sebenarnya ada bersangkut dengan ilmu kebatinan. Menurut ceritanya satu malam Dato’ Abdullah bermimpi iaitu sesudah beliau dilantik menjadi Dato’ Undang, kononnya ada seorang tua berpesan mahu bertemunya di simpang Bandar Tinggi (terletak antara Kuala Klawang dan Jerlin/Kampai).

Dato’ Abdullah tiap-tiap malam menghabiskan masanya di kelab di pekan Kuala Klawang. Jadi tiap-tiap malam beliau balik menaiki kereta kuda melalui kawasan Bandar Tinggi itu untuk balik ke rumahnya di Peradong.

Entah kenapa Dato’ Abdullah terlupa pada mimpinya di mana orang tua itu mahu berjumpa dia tepat jam 12 tengah malam. Mula-mulanya Dato’ Abdullah bercadang mahu balik pukul 10 malam kerana tidak mahu berjumpa.

Disebabkan beliau terlupa maka pada jam 12 tengah malam itulah beliau balik. Sebaik sampai saja di Bandar Tinggi, lampu kereta kudanya padam.
Beliau memukul kudanya supaya berjalan tetapi kuda itu tidak mahu bergerak. Barulah Dato’ Abdullah teringat akan mimpinya.

Perlahan-lahan beliau mengeluh “nampaknya nak berjumpa juga kita ye”. Perasaan takutnya bertukar menjadi marah disebabkan kereta kudanya terhalang untuk meneruskan perjalanan.

Tidak lama kemudian beliau nampak satu lembaga hitam berdiri di hadapannya. Dato’ Abdullah mendongak ke atas dan ternampak kepala lembaga itu tercecah sampai ke awan.

Tahulah beliau bahawa yang di hadapannya adalah hantu galah. Kerana tidak dapat menahan marahnya Dato’ Abdullah pun lantas melompat sambil menerkam ke arah kaki lembaga tersebut.

Dengan pantas lembaga itu menghayunkan kakinya untuk menendang Dato’ Abdullah. Ketika kakinya dihayun Dato’ Abdullah nampak lautan, gunung dan hutan rimba di-bawahnya namum dia tidak melepaskan pegangan di kaki lembaga itu.

Setelah puas lembaga itu menghayunkan kakinya dan Dato’ Abdullah tidak terpelanting jatuh Lembaga itu pun bersuara, “memang anak jantan kau Dollah… cabutlah bulu betis aku… bersahabatlah kita.”

Dato’ Abdullah mencabut bulu betis lembaga itu, bentuknya sama macam ijuk enau (lidi daun enau). Anak-anak Dato’ Abdullah dapat melihat bulu betis tersebut tetapi salah seorang anak almarhum Dato’ Abdullah menjelaskan bulu betis itu hilang daripada simpanan sebulan sebelum almarhum meninggal dunia.

Semenjak kejadian itu, Dato’ Abdullah dipercayai mendapat sesuatu kekuatan yang luar biasa sehinggakan pada masa-masa tertentu gajah besar, harimau dan binatang-binatang liar yang lain sering kelihatan berkeliran di kediamannya dekat Kampung Peradong.

Sumber penceritaan:

1. Singa Jelebu mengalahkan hantu galah, Wakil Saripati, majalah Saripati,1980
2. Nostalgia Undang Abdullah Singa Jelebu, Yati Rahim, 2022.

Dato Abdullah Undang Jelebu Yang Kebal & Gagah

YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Dato’ Abdullah bin Panglima Muda Luk bertubuh kecil dengan ketinggian 5 kaki 3 inci namun misainya yang panjang melintang menyerlahkan ketrampilan beliau sebagai seorang pahlawan.

Terkenal dengan kegagahan dan ilmu kebatinan tinggi, Undang Luak Jelebu ke-12 itu memerintah Jelebu selama 43 tahun, bermula 1902 hingga akhir hayatnya pada usia 76 tahun pada 1945.

Dalam satu peristiwa kira-kira setahun pemerintahannya, Dato’ Abdullah menggemparkan penduduk kampung apabila beliau berjaya mengangkat sebuah meriam lama seberat 15 pikul seorang diri selepas usaha mengangkatnya beramai-ramai gagal.

Meriam itu ditemui ketika kerja-kerja pembersihan hutan untuk membina Balai Polis Titi, kemudian dipikul oleh Dato’ Abdullah lalu dipindahkan ke sebuah kawasan bukit dikenali sebagai Bukit Petai.

Beberapa kejadian ‘pelik tapi benar’ yang membabitkan Dato’ Abdullah selepas itu membuktikan beliau bukan calang-calang orang. Hal ini didedahkan oleh anak sulungnya Ahmad Sharif atau lebih dikenali sebagai Tok Sharif dalam sebuah buku.

Menurut Tok Sharif, pada 1923, ketika kerja-kerja penebangan balak dilakukan, sepohon balak sebesar lima pemeluk telah menghempap Dato’ Abdullah, tapi anehnya, ia tidak sedikit pun mencalarkan tubuh ayahnya.

Dalam satu peristiwa lain, pada 1935, seorang pengurus estet berbangsa Inggeris yang dalam perjalanan dari Seremban ke Jelebu mengalami kemalangan apabila kereta ditumpanginya terbabas ke dalam gaung. Tapi, kereta itu tiba-tiba terhenti di tengah gaung dan tidak menjunam ke dasar, seolah-olah ada kuasa yang menariknya.

Apabila kereta itu berjaya ditarik ke tebing, pengurus estet berbangsa Inggeris itu sangat terkejut melihat yang menarik keretanya dari gaung adalah Dato’ Abdullah sehingga koyak kasut yang dipakainya.

Begitulah sifat Dato’ Abdullah, beliau akan menolong sesiapa sahaja walaupun pada hakikatnya, sebagaimana pahlawan Melayu lain, beliau seorang antipenjajah dan akan menentang mereka jika penjajah menindas rakyat Tanah Melayu.

Malah, menjadi kepantangan beliau apabila penjajah cuba mencabar, memperkotak-katik atau memperlekeh orang Melayu. Ia dapat dilihat dalam satu insiden membabitkan seorang pegawai polis berbangsa Inggeris yang dikatakan mempersenda ilmu kebatinan orang Melayu.

Dato’ Abdullah terus bersemuka dengan pegawai polis Inggeris itu, lalu mengambil pistol polis berkenaan dan menembak lengannya sendiri sebanyak tiga das. Apa yang memeranjatkan pegawai polis berkenaan dan orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu, lengan Dato’ Abdullah yang terkena tembakan itu tidak luka, sebaliknya hanya calar dan mengeluarkan asap!

Beliau juga cukup pantang jika ditegur oleh orang Inggeris. Dalam satu mesyuarat di kediaman Pegawai Daerah Jelebu, Sir Andrew Caldecott, Pegawai Kanan Bristish, telah menegur Dato’ Abdullah apabila tali kasutnya tidak diikat dengan betul.

Teguran itu mencetuskan keberangan Dato’ Abdullah, lalu menyergah Caldecott: “Kalau begitu, awak saja ikat tali kasut kawan!”

Caldecott tergamam dan terketar-ketar, tanpa berlengah terus tunduk mengikat tali kasut Dato’ Abdullah. Semua orang yang pada majlis itu tidak berani membuka mulut untuk menegur perbuatan Dato’ Abdullah ke atas pegawai Inggeris berkenaan.

Sejak peristiwa itu, pegawai Inggeris tidak berani mengangkat muka dengan Dato’ Abdullah apatah lagi hendak menegurnya. Sebaliknya mereka sangat menghormati lelaki bersosok kecil itu malah memberi gelaran ‘Lion of Jelebu’ kepadanya.


Sumber penceritaan:

1. Singa Jelebu mengalahkan hantu galah, Wakil Saripati, majalah Saripati,1980
2. Nostalgia Undang Abdullah Singa Jelebu, Yati Rahim, 2022.

Keberanian Luar Biasa Dato Abdullah Undang Jelebu

Selain terkenal gagah dan ada ilmu kebatinan tinggi, YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Dato’ Abdullah bin Panglima Muda Luk juga masyhur sebagai seorang yang berani dan tegas.

Undang Luak Jelebu ke-12 itu dikatakan pernah mencabut misai harimau belang di hutan Kenaboi, Jelebu. Bukan cerita dongeng, tetapi kisah yang benar-benar berlaku dan menjadi buah mulut orang-orang tua di Kenaboi.

Ramai yang tahu akan peristiwa berkenaan dan ada di antaranya mendakwa pernah melihat sendiri misai harimau belang itu. Kejadian ini berlaku dalam 1920-an, sewaktu beliau baru sahaja dilantik menjadi Undang Jelebu.

Dato’ Abdullah juga ditakuti oleh sesiapa sahaja kerana kegerunan yang ada pada dirinya termasuk YAM Tuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhammad ibni YAM Tuan Antah.

Baginda pernah dimarahi oleh Dato’ Abdullah di Istana Lama Seri Menanti kerana membiarkan orang ramai menunggu terlalu lama di bawah panas terik matahari sewaktu kemangkatan permaisuri Tuanku Muhammad, Tuanku Ampuan Halijah pada 1921.

Ketika itu Tuanku Muhammad hanya mendiamkan diri sementara Tengku Muda Chik (ibu mentua Tuanku Muhammad Shah) yang terkenal dengan sifat tegasnya juga tidak berani membantah.

Baginda hanya memandang sambil tersenyum tawar. Ketegasan Dato’ Abdullah memang diakui oleh semua orang termasuk Residen British di Negeri Sembilan sehinggakan beliau digelar ”Lion Of Jelebu”.

Dato’ Abdullah menerima darjah kebesaran Commander of the Order of the British Empire (C.B.E), antara darjah kebesaran tertinggi dalam Empayar Britain daripada Raja Britain, Raja George V pada 1935.

YAM Tuan Besar Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad sanggup menjejakkan kaki ke kediaman rasmi Dato’ Abdullah di Jelebu untuk menyaksikan Dato’ Abdullah menerima pingat C.B.E yang disampaikan oleh Sir Shenton Thomas, Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu bersekutu pada 1935.

Setelah kematian Dato’ Abdullah, darjah kebesaran itu diwarisi oleh anak lelaki sulungnya Ahmad Sharif.

Sumber penceritaan:
1. Nostalgia Undang Abdullah Singa Jelebu, Yati Rahim, 2022.

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong