Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Sejarah
Luak Johol

Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.

50%

Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar

Sempadan Sebenar Luak Johol

Sungei Ujong, Jelebu dan Rembau mempunyai tanda persempadanan luak jelas di Negeri Sembilan. Ketiga-tiga wilayah luak itu mudah dikenal pasti menerusi persempadanan daerah mengikut peta moden oleh Pejabat Daerah Tanah di Negeri Sembilan.

Wilayah kekuasaan tiga luak itu ialah:

Sungei Ujong: seluruh daerah Seremban dan Port Dickson
Jelebu: seluruh daerah Jelebu
Rembau: seluruh daerah Rembau

Bagaimanapun, wilayah luak Johol kurang jelas mengikut sempadan daerah-daerah di Negeri Sembilan. Dikatakan wilayah kekuasaan Johol terangkum dalam daerah Kuala Pilah, Tampin dan Jempol.

Lantaran tiada tanda sempadan jelas, ia sering menimbulkan polemik khususnya dalam kalangan pentadbir negeri, penjawat awam, malah dalam kalangan pembesar adat sendiri, termasuk pihak istana di Seri Menanti.

Paling tidak jelas sekali sempadan Johol dengan luak-luak Tanah Mengandung di bawah naungan YAM Tuan Besar di Seri Menanti. Ketika ini, ramai orang menggunakan lakaran peta dalam buku Sistem Sosial Adat Perpatih tulisan Nordin Selat bagi rujukan persempadanan luak Johol.

Hakikatnya, sempadan Johol yang sebenar telahpun diperincikan oleh seorang Inggeris bernama Gray yang pernah melalui Johol pada 1827. Lawatan Gray itu dicatat oleh tentera Inggeris berpangkalan di Melaka iaitu Thomas James Newbold pada 1832.

Luak Johol sebenar bersempadan dengan Ulu Pahang di utara dan Batang Melaka di sebelah selatan. Di sebelah timur pula ia bersempadan dengan Segamat di Johor.

Paling menarik, sempadan Johol sebenar di sebelah barat ialah Bukit Pilah. Dengan kata lain pekan Kuala Pilah itu sebenarnya terbahagi dua. Satu bahagian di bawah Ulu Muar dan satu lagi di bawah kekuasaan YTM Dato’ Undang Johol.

Tulisan Thomas James Newbold itu juga bertepatan dengan catatan-catatan purba daripada pembesar-pembesar dan orang-orang tua Johol bahawa luak Jempol yang asalnya bawah YTM Dato’ Undang Johol, hanya meliputi Ulu Jempol, Kuala Jempol, Serting Ulu dan Serting Ilir.

Mukim Rompin, Palong, Kepis, Gemenceh, Pasir Besar, Air Kuning dan sebahagian pekan Kuala Pilah sememangnya di bawah kekuasaan YTM Undang Luak Johol dan ia berterusan sehingga hari ini.

Nota 1: Wilayah Tunku Besar Tampin ialah Tampin Tengah, Keru, Repah dan Tebong. Dahulu dikenali Rembau Baruh.

Sumber penceritaan daripada:

1) Political and Statistical Account of the British Settlements in the Straits of Malacca: Viz. Pinang, Malacca, and Singapore, with a History of the Malayan States on the Peninsula of Malacca, Volume I & II oleh TJ Newbold, 1839

2) Johol, Inas, Ulu Muar, Jempul, Gunong Pasir and Terachi: Its History and Constitution. Papers on Malay Subjects oleh J.E Nathan dan R.O Winstedt, 1920

3) Datuk Undang Luak Johol oleh Noraini Abd Talib, 1979

4) Negeri Sembilan Gemuk Berpupuk Segar Bersiram: Luak Johol oleh Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri dan Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, 1994

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong