Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

sejarah
sungei Ujong

Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.

100%

Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar

Bukan Keris Minang Tetapi Keris Melayu Kebesaran YTM Undang Yang Empat

Keris adalah senjata unik yang menjadi tanda pengenalan seseorang itu. Hampir setiap kaum atau etnik di Nusantara mempunyai Keris @ Senjata sendiri sebagai tanda pengenalan diri dan asal usul. Malah sebagai tanda pengenalan juga Keris dijadikan Alat Kebesaran bagi seeorang Raja dan Pembesar di Negeri Sembilan yang melambangkan identiti keturunan, tanda kekuasaan ke atas wilayah dan rakyat diperintahnya.

Terdapat banyak jenis Keris yang mana jika kita ahli dalam perkerisan kita akan mengenal asal usul pemakai Keris itu. Bagaimanapun di Negeri Sembilan yang disebut-sebut sebahagian daripada Minangkabau situasinya berbeza. YTM Dato’ Undang Yang Empat selaku Raja bersama di Negeri Sembilan tidak pernah memakai Keris Minangkabau sebagai pelengkap busana atau alat kebesaran. Jika diteliti daripada gambar-gambar foto lama dan yang terkini, semua YTM Dato’ Undang Yang Empat memakai Keris Johor-Pahang-Riau-Lingga atau lebih dikenali sebagai Keris Melayu Semenanjung. Ada juga ahli bidang perkerisan mengatakan mereka memakai Keris Melayu Negeri Sembilan.

Keris Melayu Semenanjung amat berbeza dengan Keris Minangkabau. Bilah Keris Minangkabau kebanyakan adalah daripada jenis alang atau anak alang. Ada juga bilah Jawa. Sampirnya lebih kecil dan tidak lebar seperti Keris Melayu Semenanjung. Pada hujung sampir diukir menaik bentuknya seolah-olah bumbung bergonjong. Sarung Keris Minangkabau banyak hiasan dan ukiran, manakala batang serunai keris Minangkabau lebih tirus.

Keris Melayu Semenanjung sampirnya lebih lebar dan biasanya jenis sampir perahu jalur. Batang serunainya lebih besar dan hiasannya ringkas serta tidak rumit. Bilahnya pula lazimnya adalah jenis bilah tempa Melaka. Ada juga memakai bilah Bugis dan bilah pandai saras. Semakan ke atas Keris-keris antik YM Dato’-dato’ Lembaga di Sungei Ujong yang berusia ratusan tahun, dapatan sama juga ditemui. Semuanya memakai keris Melayu Semenanjung dan berbilahkan jenis tempa Melaka atau bilah Bugis. Tambahan pula, mengikut maklumat diperoleh pemain Keris, Keris-keris antik Minangkabau sebenarnya banyak dijumpai di sekitar Perak, dan bukannya di Negeri Sembilan.

Justeru ia menimbulkan persoalan berhubung identiti sebenar pemerintah dan Pembesar-pembesar Negeri Sembilan. Jika benar mereka berasal dari Minangkabau atau bersusur galur dari Tanah Minangkabau, tentunya Keris Minangkabau dipakai sebagai pelengkap busana dan Alat Kebesaran. Namun yang dipakai adalah Keris Melayu Semenanjung. Perkara ini jelas menunjukkan leluhur (moyang) YTM Dato’ Undang Yang Empat yang sebenar adalah orang asal Melayu dan Memerintah menggunakan Adat Purbakala yang diwarisi sejak zaman Empayar Srivijaya. Sayugia diingatkan Keris adalah Identiti dan Tanda Keturunan/Leluhur seseorang itu.

Nota 1: Sultan Selangor memakai Keris Bugis sebagai alat kebesarannya.

Nota 2: Sultan Kedah memakai Keris Melayu Kedah sebagai alat kebesarannya.

Nota 3: Sultan Pahang memakai Keris Johor-Pahang-Riau-Lingga variasi Pahang sebagai pelengkap busana.

Nota 4: Keris Yang di-Pertuan Agong adalah jenis Keris Tajong Bangsa Agong, berasal dari Kelantan-Patani Nota 5: Keris Taming Sari dipakai Sultan Perak adalah Keris Majapahit yang diwarisi daripada Dato’ Orang Kaya Laksamana Hang Tuah.

Nota 6: Jadi Macamana Boleh Mengatakan Negeri Sembilan Ini Minangkabau? Dimana ‘Relevent’ nya?

Sumber penceritaan hasil rujukan daripada:

1) Keris Melayu Pusaka Bangsa, Ahmad Zamli Ali Piah, 2019.

2) Keris Minangkabau, Basuki Teguh Yuwono & Fadli Zon, 2016.

3) Etika Memakai Keris Dalam Busana, Tengku Ahmad Ridhaudin, 2020.

Kebawah Kaus YTM Undang Sungei Ujong

Kebawah Kaus YTM Undang Jelebu

Keris Melayu Alat Kebesaran YTM Undang Sungei Ujong

Kebawah Kaus YTM Undang Jelebu

Kebawah Kaus YTM Undang Rembau

Keris Melayu Alat Kebesaran YTM Undang Sungei Ujong

Kebawah Kaus YTM Undang Johol

Keris Melayu Pusaka Bangsa

Keris Minangkabau

Kebawah Kaus YTM Undang Rembau

Keris Melayu Semenanjung Suatu Pengenalan

Keris Minangkabau

Versi Multimedia

Port Dickson Milik Luak Sungei Ujong

YTM Dato Klana Syed Abdul Rahman

YTM Dato Klana Petra Sendeng

YTM Dato Klana Petra Ma'amor

Daerah Port Dickson atau dahulu dikenali Tanjung atau Arang adalah di bawah penguasaan Luak Sungei Ujong sejak abad ke-12. Port Dickson sebagai sebahagian Sungei Ujong boleh dijejaki menerusi pelbagai rekod-rekod bertulis sejak abad ke-13.

Selain Nagarakartagama, Sejarah Melayu ada menyebut Sungei Ujong pernah ditadbir oleh Bendahara Melaka Tun Perak dan Seri Nara Diraja Tun Ali.

Petikan Sejarah Melayu: “Adapun Sening Ujung itu dahulukala berbahagi dua dengan Bendahara; ada penghulunya.”

Ketika itu, keluasan wilayah Sungei Ujong dipercayai meliputi Klang, Morib sehingga ke Tanjung Tuan (Port Dickson) lantaran kedudukan Bendahara Tun Perak yang menjadi penghulu Klang sebelumnya.

Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad pada 1880 pernah merujuk Sang Hyang Hujung (Sungei Ujong) sebagai kawasan yang menganjur dari Sepang sehingga Linggi, selari dengan kawasan Tanjung Tuan kini, atau ketika zaman British dinamakan sebagai Cape Rachado.

Ketuanan Luak Sungei Ujong ke atas Port Dickson diperkukuhkan menerusi pengiktirafan Lukut dan Sungai Raya sebagai kawasan pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra, Undang Luak Sungei Ujong menerusi Perjanjian Sempadan Sungei Ujong-Selangor pada 1880.

 

Sebelum itu, kedudukan daerah Port Dickson terbabit dengan pertikaian antara Sultan Abdul Samad dengan YTM Dato’ Klana Petra Sendeng. Kedudukan Sungai Sepang pada asalnya adalah dalam Luak Sungei Ujong tetapi diduduki orang Bugis hingga ke Sungai Linggi.

Sungai Linggi merupakan kawasan pemerintahan YTM Dato’ Kelana Petra Sendeng. Beliau bertanggungjawab terhadap kutipan hasil cukai bijih di kawasan itu. Dalam 1862, Dato’ Kelana Petra Sendeng menyampaikan bantahannya kepada Sultan Abdul Samad kerana Selangor menduduki Sungai Linggi dan Tanjung Tuan (Port Dickson) secara tidak sah.

Ekoran itu, pada 1863 Raja Abdullah sebagai wakil Selangor berunding dengan Dato’ Kelana Petra Sendeng menyelesaikan pertelingkahan sempadan tersebut. Dalam rundingan itu, Raja Abdullah mengakui secara lisan bahawa Lukut dan Sungai Linggi adalah milik Luak Sungei Ujong.

Pada 30 Julai 1880 di Singapura, kedaulatan Lukut dalam Luak Sungei Ujong dipersetujui antara Sultan Abdul Samad, Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman bin Syed Ahmad al-Qadri, Raja Bot bin Raja Jumaat (Raja Lukut) dan Raja Daud bin Raja Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah (Penghulu Sungai Raya dan Ulu Langkat) di Singapura.

Dalam perjanjian sama juga, dipersetujui wilayah Lukut dan Sungai Raya ditukarkan dengan jajahan Sungei Ujong iaitu Kajang, Reko, Semenyih, Beranang, Broga dan Labu (Sepang).

Justeru, sememangnya seluruh daerah Port Dickson adalah di bawah pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong sejak dahulu kala.

Sebagai tanda ketuanannya, YTM Dato’ Undang Luak Sungei Ujong mendirikan balai hinggapnya di Teluk Kemang, tidak jauh dari Tanjung Tuan. Balai hinggap ini menjadi tempat persinggahan Dato’ Klana Petra Maamor semasa Tanah Melayu di bawah pendudukan Jepun pada 1942 hingga 1945.

Hal ini jelas menunjukkan keseluruhan daerah Port Dickson mempunyai rajanya iaitu YTM Dato’ Klana Petra. Ketika ini, daerah Port Dickson dipertanggungjawabkan kepada Orang Besar bergelar dan berpangkat:

– YM Dato’ Johan Lembaga Waris Klana di-Hulu (menjaga Port Dickson dan Lukut)
– YM Dato Maharaja Lela Lembaga Waris Klana di-Hilir (menjaga Port Dickson)
– YM Orang Kaya Besar Dato’ Muda Linggi (dato’ bergajah tunggal yang menjaga Linggi)

Bagi kariah masjid-masjid di seluruh daerah Port Dickson kecuali mukim Linggi, ia diletakkan secara terus ke bawah kaus YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Nota 1: Akibat penjajahan Portugis sejak 1511, sebahagian kecil Tanjung Tuan (rumah api dan kawasan hutan simpan) kini menjadi sebahagian negeri Melaka sebagai wilayah asingan. Namun kawasan sekeliling Tanjung Tuan adalah kekal di dalam kekuasaan Luak Sungei Ujong.

Nota 2: Lukut termasuk kawasan Makam Diraja Selangor adalah di bawah jagaan YM Dato’ Johan Lembaga Waris Klana di-Hulu.

Nota 3. Kawasan Labu (Sepang) kini lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIA. Tidak jauh darinya dalam sempadan Negeri Sembilan wujud Masjid Dato’ Penghulu Menteri (dahulu Masjid KLIA) yang menjadi masjid adat Luak Sungei Ujong.

Penerbitan: Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong.

Artikel ini ditulis berdasarkan sumber:

1. Sejarah Melayu
2. Balai YTM Dato’ Undang Luak Sungei Ujong
3. Portal Majlis Perbandaran Port Dickson
4. Negara Kartagama: Masa Keemasan Majapahit oleh Ketut Riana, 2009
5. Twitter @AshrafMhd oleh Ashraf Muhamad, 14 Disember 2018
6. Perjanjian Sempadan Negeri Selangor dan Sungai Ujung 1880, wangsamahkota.wordpress.com, 2010.

 

Versi Multimedia

Wajah Dato' Dol Said Penghulu Naning Atau YAM Tuan Antah Atau YTM Dato Klana Petra Syed Abdul Rahman? Kisah Sebenar di Sebalik Potret Sejarah Popular

Potret lelaki bermisai nipis dan bertanjak ini amat popular dalam penceritaan sejarah negara. Ada mendakwa ia wajah Dato’ Dol Said Penghulu Naning dan ada mengatakan ia wajah YAM Tuan Antah dan Dato’ Klana Syed Abdul Rahman Undang Luak Sungei Ujong.

Hal ini telah lama dibahaskan berhubung wajah tokoh sebenar yang potretnya merata tempat khususnya di media sosial dalam mendidik anak bangsa mengenai sejarah negara.

Tokoh sebenar yang wajahnya diabadikan di potret itu ialah YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman bin Syed Ahmad al-Qadri. Bapanya adalah kerabat Tunku Besar Tampin dan disebabkan itu adakalanya beliau memakai gelar Tunku Klana Petra. Ibunya bernama Che Hitam (Ibusoko Waris Klana di-Hilir), adik perempuan kepada YTM Dato’ Klana Petra Bahi.

Pada masa sama beliau juga anak saudara kepada YTM Dato’ Klana Kawal dan YTM Dato’ Klana Sendeng. Sebelum menjadi Undang Sungei Ujong, Dato’ Syed Abdul Rahman menyandang pusaka YM Dato’ Orang Kaya Laksamana. Beliau terkenal sebagai tokoh memainkan peranan besar dalam perang saudara Sungei Ujong dan Perang Bukit Putus.

Gambar asal beliau itu sebenarnya bersama anak perempuannya tersimpan kemas di arkib Waris Klana. Malah gambar itu juga disalin oleh Arkib Negara dan direkodkan sebagai Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman. Gambar itu dirakam sekitar tahun 1878-1879 di kedai gambar Lot 54, Victoria Street, Singapura oleh jurugambar bernama Loo Pun Ting.

Malah tanjak yang dipakai ketika bergambar itu juga masih tersimpan rapi oleh Waris Klana. Tanjaknya diperbuat daripada kayu dan dililit dengan kain untuk memudahkan pemakaian.

Sehubungan itu, berdasarkan bukti-bukti konkrit ini tidaklah benar cakap-cakap atau dakwaan yang mengatakan wajah potret itu adalah YAM Tuan Antah atau Dato’ Dol Said Penghulu Naning. Semoga penjelasan ini memanfaatkan kita semua.

Wallahualam

Nota 1: Jika itu gambar YAM Tuan Antah kenapa ia berada dalam simpanan waris Klana Sungei Ujong sejak 1870-an? Gambar itu juga tidak pernah ditemui di mana-mana istana di Seri Menanti.

Nota 2: Bagaimana dikatakan itu gambar YAM Tuan Antah sedangkan ia dirakam pada 1878-1879 sedangkan YAM Tuan Antah telah kembali ke Seri Menanti pada 1877?

Nota 2: YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman mempunyai empat anak lelaki iaitu 1)Syed Muhammad; 2)Syed Ali; 3)Syed Ismail; 4)Syed Hassan. Tiada mana-mana catatan atau dalam pengetahuan waris Klana Sungei Ujong wujud anak bernama Syed Abdullah.

Nota 3: YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman meninggal dunia di Makkah selepas menunaikan ibadah haji dan bukannya dibunuh di Singapura. Beliau kembali ke rahmatullah selepas dijangkiti penyakit disenteri semasa di Makkah.


Sumber rujukan:

1) YM Dato’ Lela Bangsa Sungei Ujong (waris Dato’ Klana Syed Abdul Rahman sebelah ibu Che Hitam)
2) YM Ibusoko-Ibusoko Waris Klana di-Hulu Sungei Ujong (salah seorang YM Ibusoko daripada keluarga al-Qadri)
3) The War with Yam Tuan Antah, J.M Gullick, Mei 1954
4) Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu Jilid 4
5) War in Negeri Sembilan, Tharumaratham Chelliah, 1955
6) A Chapter of Sungai Ujong, The Golden Chersonese, Isabella L. Bird Bishop, 1883

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong