YM Dato’ Andulika Mandalika merupakan Waris Negeri berketurunan Bendahara Sekudai, Bendahara bagi Kesultanan Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga. Salasilahnya mengikut nasab ibu bersambung sehingga kepada anak perempuan bongsu Bendahara Sekudai iaitu Toh Seri Menai/Mani.
Berdasarkan catatan dalam simpanan arkib Sungei Ujong, keturunan YM Dato’ Andulika Mandalika adalah hasil perkahwinan antara Toh Seri Menai/Mani dengan seorang pemuda dari Terachi yang pada waktu itu berada di bawah jajahan Sungei Ujong.
Toh Seri Menai/Mani diamanahkan untuk menjaga undang-undang dan adat Sungei Ujong oleh ayahandanya Bendahara Sekudai, iaitu bidang kuasa yang boleh diumpamakan hampir sama seperti Peguam Negara pada zaman moden ini. Kuasa-kuasa itulah yang diwarisi oleh penyandang pusaka YM Dato’ Andulika Mandalika daripada Toh Seri Menai/Mani.
Mengikut Adat Purbakala Luak Sungei Ujong, YM Dato’ Andulika Mandalika berperanan sebagai Tua Lembaga Tiang Balai Undang dan juga Tua Lembaga Waris di-Darat. Teori kewujudan YM Dato’ Andulika Mandalika telah lama diperdebatkan oleh sarjana dan orientalis Barat.
Antaranya Richard Olaf Winstedt memetik Tom Pires yang mengatakan telah ada Mandalika di Sungei Ujong pada abad ke-14. Winstedt berpendapat Mandulika itu bermaksud gabenor dalam bahasa Sanskrit.
Apabila dipadankan dengan artifak Kerajaan Sriwijaya yang ditemui di Terengganu, jelas Sungei Ujong telah ada orang besar dipanggil Mandulika pada abad ke-12. Ia mengukuhkan teori bahawa YM Dato’ Andulika Mandalika itu adalah warisan perjawatan Mandalika Sungei Ujong sejak zaman Sriwijaya.
YM Dato’ Andulika Mandalika berkuasa mentadbir mukim Pantai di Seremban selain mengawalselia jajahan YTM Dato’ Klana Petra di Ampangan dan Gedong Lalang (Durian Tiga Batang).
Sempadan kawasan kawalannya di Ampangan adalah sehingga Bukit Putus bersempadan dengan Luak Terachi (garis sempadan Daerah Seremban & Kuala Pilah). Manakala kawasan kawalannya di mukim Pantai hingga ke Temiang, Seremban.
Tugas dan tanggungjawab YM Dato’ Andulika Mandalika turut dibantu oleh buapaknya bergelar YM Dato’ Sinda Maharaja.
Dalam pemerintahan Sungei Ujong, YM Dato’ Andulika Mandalika bertanggungjawab menjaga perbendaharaan dan undang-undang Sungei Ujong meliputi Waris di-Darat dan juga Waris di-Ayer.
Pada masa sama, YM Dato’ Andulika Mandalika bertindak sebagai penimbang tara sekiranya ada perbicaraan adat di Telaga Undang. Tugas itu secara tidak langsung dapat memastikan keharmonian antara Waris di-Darat dan Waris di-Ayer.
Peranannya amat penting dan kuasanya luas dalam memastikan perjalanan undang-undang dan adat di Luak Sungei Ujong dipatuhi serta berjalan lancar. Beliau berhak menyuarakan masalah dan aturan adat (termasuk pendakwaan adat), sekali gus menjadi penasihat utama kepada YTM Dato’ Klana Petra, sesuai dengan kedudukannya sebagai Tua Lembaga Tiang Balai Undang Sungei Ujong.
Terdapat tiga Dato’ Lembaga di Pantai yang bernaung di bawah YM Dato’ Andulika Mandalika iaitu:
1) YM Dato’ Menteri – Waris Semelenggang Pantai
2) YM Dato’ Raja di-Muda – Waris Biduanda Pantai
3) YM Dato’ Maharaja Indera – Waris Batu Hampar Pantai
YM Dato’ Menteri merupakan Lembaga Waris Semelenggang Pantai berketurunan Dato’ Alon Tujuh yang berasal dari Johor. Dato’ Alon Tujuh adalah salah seorang pengikut Bendahara Sekudai.
YM Dato’ Raja di-Muda merupakan Lembaga Waris Biduanda Pantai berketurunan Dato’ Batin Maabod yang mendiami Pantai.
YM Dato’ Maharaja Indera merupakan Lembaga Waris Batu Hampar Pantai yang asal-usulnya dari Pasai, Aceh. Dikenali waris Batu Hampar kerana sewaktu penghijrahan, kumpulan waris ini singgah dahulu di Batu Hampar, Riau dan kemudian menuju ke Johor dan seterusnya menetap di Pantai.
YM Dato’ Andulika Mandulika mempunyai alat kebesaran dan terdapat enam juak hulubalang di bawahnya iaitu:-
1) To’ Panglima Juangsa
2) To’ Panglima Meraja
3) To’ Panglima Singa
4) To’ Panglima Langgam
5) To’ Panglima Imam Perang Kiri
6) To’ Panglima Mamat
Nota 1: Atas persetujuan Waris Klana di-Hulu dan Waris Klana di-Hilir, YM Dato’ Andulika Mandalika boleh memangku jawatan Undang Luak Sungei Ujong sekiranya penyandang pusaka YTM Dato’ Klana Petra meninggal dunia.
Nota 2: Ketika ini, YM Dato’ Andulika Mandalika berkuasa dalam segala hal ehwal adat istiadat Melayu di seluruh Sungei Ujong. Segala permasalahan hendaklah disuarakan oleh Dato’-dato’ Lembaga di Sungei Ujong kepadanya untuk disampaikan kepada YTM Dato’ Klana Petra supaya boleh dibincangkan dalam Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan. Ia termasuk hal berkaitan pentadbiran kariah masjid, hukum agama dan lain-lain perkara berkaitan adat Melayu.
Nota 3: YM Dato’ Andulika Mandalika ini berhak menerima tembakan meriam penghormatan (gun salute) sebanyak tiga das ketika adat istiadat selain boleh membawa alat kebesaran dan duduk di peterana tiga tingkat. Waris-waris Sungei Ujong dan orang kebanyakan harus menyembah ketika beliau berada di atas paterana.
Nota 4: Sebagai Dato’ Lembaga yang berkuasa di Pantai, Ampangan dan Gedong Lalang, mana-mana pegawai masjid dalam kawasan berkenaan hendaklah mendapatkan YM Dato’ Andulika Mandalika untuk mendapatkan kata putus sekiranya timbul sebarang permasalahan.
Nota 5: Maklumat dan rekod purba berkaitan asal keturunan YM Dato’ Andulika Mandalika bersama Lembaga Tiga di Pantai iaitu Dato’ Menteri, Dato’ Raja di-Muda dan Dato’ Maharaja Indera jelas membuktikan Sungei Ujong berakar pada Adat Purbakala dan berkait rapat dengan Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga.
Sumber penceritaaan daripada:
1. YM Dato’ Andulika Mandalika, Pantai, 2022
2. JMBRAS Vol 23, The Mandalika of Sungai Ujong oleh R.O Winstedt, 1950
3. JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong oleh J.M Gullick, 1949
4. JSBRAS Vol 53, Notes On Malay History oleh Blagden, 1909
5. JSBRAS Vol 28, Adat Sungei Ujong, 1895