Pusaka perjawatan YM Dato’ Akhirzaman Rantau diwujudkan ketika tempoh pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Bador antara 1760 hingga 1780. Mengikut manuskrip sejarah Luak Sungei Ujong, YTM Dato’ Klana Petra Bador selepas menjadi YTM Dato’ Undang bertindak memperkemaskan pentadbiran dengan melantik seorang pembesar bagi mewakili waris di Rantau.
YM Dato’ Akhirzaman berperanan sebagai pembesar bagi pihak YTM Dato’ Klana Petra untuk mengutip cukai, menjaga hal ehwal agama Islam, menjaga keselamatan dalam negeri dan menjaga Rantau yang merupakan sebahagian jajahan Sungei Ujong.
Dalam pentadbiran Sungei Ujong, YM Dato’ Akhirzaman adalah Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang Luak Sungei Ujong, sekali gus boleh menjadi Jemaah Pemangku Undang sekiranya pusaka perjawatan YTM Dato’ Klana Petra kosong dan masih belum dilantik.
Bagaimanapun, YM Dato’ Akhirzaman diletakkan di bawah naungan pemerintah Waris di-Ayer selaku Dato’ Lembaga Lingkungan di Balai YAM Dato’ Shahbanda Sungei Ujong. Sehubungan itu, YM Dato’ Akhirzaman boleh dikatakan mewakili Waris di-Ayer dalam pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra.
Penyandang pusaka YM Dato’ Akhirzaman dipilih daripada Waris Rantau berdasarkan giliran empat kampung iaitu:
1) Kampung Takau
2) Kampung Solok
3) Kampung Rantau
4) Kampung Kanchong
Pentadbiran YM Dato’ Akhirzaman dibantu oleh timbalannya iaitu YM Dato’ Raja Melana yang juga bakal YM Dato’ Akhirzaman. YM Dato’ Raja Melana merupakan buapak paling kanan di Rantau dan asal daripada waris Biduanda Rantau.
Terdapat enam lagi buapak mewakili waris-waris lingkungan di sekitar Rantau dan Kuala Sawah di bawah pentadbiran YM Dato’ Akhirzaman Rantau iaitu:
1) To’ Amar Raja – Batu Hampar
2) To’ Sinda Maharaja – Paya Kumbuh
3) To’ Senara Bongsu – Mungkal
4) To’ Kaya Menteri – Anak Aceh
5) To’ Dagang Rantau – Orang Jawa
6) To’ Menteri – Biduanda Waris di-Ayer
Waris Semelenggang Rantau merupakan satu-satunya waris di Rantau yang tidak mempunyai buapak. Pada masa sama, YM Dato’ Akhirzaman Rantau mempunyai empat juak-juak hulubalang yang membawa alat kebesaran dan mengiringinya semasa berlangsungnya adat istiadat. Empat juak hulubalang itu ialah:
1) To’ Panglima Sutan
2) To’ Panglima
3) To’ Panglima Perang
4) To’ Panglima Bebas
Nota 1: YM Dato’ Akhirzaman adalah Dato’ Lembaga dan ketua adat di jajahan Rantau yang menjadi lambang kebesaran dan kemuliaan sejajar dengan perbilangan ‘adat bersendikan syarak’.
Nota 2: Selain boleh membawa alat kebesaran, YM Dato’ Akhirzaman Rantau berhak menerima tiga das tembakan meriam penghormatan (gun salute) semasa berlangsungnya istiadat.
Nota 3: YTM Dato’ Klana Petra dan YAM Dato’ Shahbanda Sungei Ujong tidak boleh mencampuri pentadbiran di jajahan Rantau melainkan diminta oleh YM Dato’ Akhirzaman.
Nota 4: Sebelum campur tangan British dan pengenalan pentadbiran kolonial, YM Dato’ Akhirzaman mengutip cukai di sepanjang Sungai Linggi dalam jajahan Rantau. Cukai hasil lain seperti damar, rotan, bijih timah dan pertanian turut dikutip YM Dato’ Akhirzaman. Sebanyak 70% hasil cukai diserah kepada YTM Dato’ Klana Petra, manakala baki 30% cukai untuk YM Dato’ Akhirzaman menyara hidup dan menanggung kos pentadbiran di Rantau.
Nota 5: Waris Biduanda Rantau atau Waris Rantau dikatakan berasal daripada jurai keturunan salah seorang anak kepada Dato’ Penghulu Menteri (gelaran asal YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong).
Nota 6: Seluruh mukim Rantau termasuk Kuala Sawah, Kampung Nyatuh, Bandar Seremban Selatan dan Bandar Ekar adalah jajahan Rantau dan diketuai YM Dato’ Akhirzaman. Sehingga kini, YM Dato’ Akhirzaman bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam termasuk perkara-perkara berkaitan kariah masjid dalam Rantau.
Sumber penceritaan:
1) JMBRAS, Adat Sungei Ujong, 1895
2) JMBRAS, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
3) Penempatan orang berkelana, Facebook Ahmad Kamarulzaman Zainal Abidin, 10 Jun 2014
4) Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Manuskrip Sejarah Sungei Ujong, 1991