Chupak yang pěpat
Gantang yang piawai,
Bungkal yang betul
Těraju yang baik,
Tidak boleh di-paling lagi.

SISTEM PEMERINTAHAN SUNGEI UJONG

Paterana Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Balai Istiadat dan Kediaman Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Peterana Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

Telaga Undang Luak Sungei Ujong, Pusat Adat Purbakala

Alat Kebesaran Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

kenali:

YANG MULIA WARIS NAN TERTUA

-PENJAGA WARIS DI SUNGEI UJONG-

YM Dato Orang Kaya Laksamana Raja Laut Shaharumzaman Dato Lelabangsa Haji Abdul Malek

Waris Nan Tertua Klana Hulu

YM Dato Maharaja Lela Abdul Mukti Haji Abd Aziz

Waris Nan Tertua Klana Hilir

YM Dato Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim

Waris Nan Tertua Andulika Mandalika

Telapak Waris Nan Tertua Klana Hulu

Telapak Waris Nan Tertua Klana Hilir

Telapak Waris Nan Tertua Andulika Mandalika

Sebagai luak nan tertua dan pengamal Adat Purbakala, Sungei Ujong mempunyai pusaka perjawatan dikenali sebagai Waris Nan Tertua. Waris Nan Tertua dipertanggungjawabkan menjaga dan memastikan kebajikan buapak-buapak dan anak-anak warisnya.

Boleh dikatakan hampir setiap waris di Luak Sungei Ujong mempunyai Waris Nan Tertua. Namun, tulisan ini menumpukan kepada Waris Negeri. Waris Nan Tertua bagi Waris-waris Negeri Sungei Ujong ialah:

1) Waris Nan Tertua Klana di-Hulu
2) Waris Nan Tertua Klana di-Hilir
3) Waris Nan Tertua di-Ayer
4) Waris Nan Tertua Andulika Mandalika

Lazimnya anak waris yang paling tua dan berpengalaman dalam kalangan waris dipilih menjadi Waris Nan Tertua. Anak waris berkenaan hendaklah bijaksana, mahir hukum syarak dan agama Islam, tahu adat istiadat, mengenal setiap anak-anak warisnya serta mempunyai pengetahuan mendalam mengenai salasilah serta susur galur warisnya sendiri.

Waris Nan Tertua menjadi penasihat dan sahabat kepada Dato’ Lembaganya. Dia juga berperanan sebagai orang tengah dan jururunding sekiranya berlaku permasalahan antara buapak-buapak dan anak-anak warisnya.

Sekiranya permasalahan gagal diselesaikan, barulah kes diadukan kepada Dato’ Lembaga untuk mendapatkan kata putus selaras dengan perbilangan: “Lembaga berkata sekali”.

Kedudukan Waris Nan Tertua berupaya memastikan keharmonian senantiasa terpelihara antara buapak-buapak dan anak-anak waris yang diketuainya. Pada masa yang sama, memperkemaskan pentadbiran jajahan-jajahan di bawah pemerintahan Luak Sungei Ujong yang dirajai YTM Dato’ Klana Petra.

Ia sejajar kata-kata adat di Sungei Ujong:

Undang memerintah negeri
Lembaga memerintah lingkungan
Tua memerintah waris
Buapak memerintah anak buah

Kedudukan Waris Nan Tertua sangat jelas mengikut Adat Purbakala; dan ia amat berbeza dengan hujah umum Adat Perpatih yang memakai perbilangan:

YAM Tuan memerintah negeri
Penghulu memerintah luak
Lembaga memerintah suku
Buapak memerintah anak buah

Kedudukan Waris Nan Tertua ini berada di atas buapak-buapak bagi setiap waris dalam Luak Sungei Ujong. Ia disebabkan sesetengah waris mempunyai lebih daripada satu buapak bagi mengetuai anak-anak buah dalam waris itu, dan Waris Nan Tertua pula mengetuai buapak-buapak berkenaan.

Ketika pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Muhammad Kassim, beliau pernah melantik Waris Nan Tertua Hilir Abdul Khalid (iaitu ayahanda kepada YAM Dato’ Syahbanda Dato’ Seri Utama Badaruddin bin Haji Abdul Khalid) sebagai Jemaah Pemangku Raja sebanyak dua kali apabila YAM Tuan Besar Tuanku Jaafar meninggalkan negeri lebih dari 30 hari kerana urusan di luar negara.

Jemaah Pemangku Raja pada waktu itu semuanya seramai empat orang iaitu tiga anak raja bergelar dan seorang Waris Sungei Ujong (Waris Nan Tertua Klana di-Hilir Sungei Ujong).

Nota 1: Peranan Waris Nan Tertua di Sungei Ujong menyamai Dato’ Lembaga di luak lain yang menjaga suku. Ia disebabkan Dato’ Lembaga di Sungei Ujong bertanggungjawab menjaga kawasan/lingkungan/jajahan bawah Luak Sungei Ujong.

Nota 2: Waris Nan Tertua bagi Waris-waris Negeri bertaraf Dato’ Lembaga Bersalasilah. Sehubungan itu, Waris Nan Tertua di Sungei Ujong diiktiraf dan diperakui Kerajaan Negeri Sembilan dan mempunyai elaun pemakanan.

Nota 3: Luak Sungei Ujong tidak pernah mengamalkan sistem suku (tribal state) sejak kewujudannya, sebaliknya sistem pemerintahan mengikut kawasan (territorial state), sama seperti negeri-negeri Melayu lain yang mempunyai sultan.

Nota 4: Pusaka perjawatan Waris Nan Tertua juga adalah warisan Adat Purbakala, dipercayai diamalkan oleh penguasa-penguasa wilayah sejak zaman Kemaharajaan Srivijaya antara abad ke-9 hingga abad ke-12.

Nota 5: Waris Nan Tertua bagi Waris-waris Negeri dan Anak Waris Klana di-Hulu = bertaraf Dato’ Lembaga Bersalasilah.

Nota 6: Semenda Waris Klana di-Hulu = bertaraf Dato’ Lembaga Lingkungan.

Nota 7: Buapak Waris Klana di-Hilir, Buapak Waris di-Ayer dan Buapak Waris Andulika Mandalika = bertaraf Dato’ Lembaga Lingkungan.

Nota 8: Anak Waris Klana di-Hilir, Anak Waris di-Ayer dan Anak Waris Andulika Mandalika = bertaraf Buapak.

Nota 9: Kemaskini rekod di Telaga Undang dan Balai Undang Luak Sungei Ujong terdapat sebanyak 91 Waris di seluruh Luak Sungei Ujong sehingga November 2022.

Nota 10: Adat zaman purbakala menetapkan sekiranya berlaku kemangkatan YAM Tuan Besar, yang mana pada waktu itu tiada Undang Sungei Ujong (sama ada baru wafat atau belum dilantik) dan pada waktu itu juga YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris di-Hulu & YM Dato’ Maharaja Lela Lembaga Waris Klana di-Hilir juga tiada, maka Waris Nan Tertua Klana di-Hulu atau di-Hilir boleh mewakili Undang Sungei Ujong untuk melantik YAM Tuan Besar kerana kewujudannya diiktiraf oleh Kerajaan Negeri dengan dibayar pencen pemakanan (elaun saraan).

Nota 11: Waris Nan Tertua Klana Sungei Ujong pernah menjadi sebahagian Jemaah Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bersama anak-anak Raja bergelar semasa zaman Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Munawir ketika kedua-dua YAM Tuan Besar itu tiada dalam negeri selama lebih 30 hari.

Nota 12: Waris Klana di-Hulu Sungei Ujong tidak mempunyai Buapak. Semua Anak Waris dan Ibusoko Klana di-Hulu diketuai Waris Nan Tertua dan Lembaganya YM Dato’ Johan.

Sumber penceritaan:
1. YM Dato’ Andulika Mandalika Tua Lembaga Waris di-Darat Sungei Ujong, 2022
2. YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu, 2022
3. Aturan Sungei Ujong, R.N Bland, 1895
4. JMBRAS, Adat Sungei Ujong, 1895
5. Paper On Malay Subject, Law: The Adat Perpateh, R.J Wilkinson, 1923
6. Paper On Malay Subject, Law: The Adat Temenggong, R.J Wilkinson, 1923
7. Paper On Malay Subject, Law: Muhammadan Law in Malaya, R.J Wilkinson, 1923
8. Paper On Malay Subject, Malay History: Notes On The Negri Sembilan, R.J Wilkinson, 1923
9. JMBRAS, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
10. Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Manuskrip Sejarah Sungei Ujong, 1991

kenali:

YANG MULIA Dato lelabangsa

-BUAPAK WARIS KLANA DI-HILIR-

YM Dato Lelabangsa Ahmad Razin Haji Abd Aziz

Buapak Waris Klana Hilir

Telapak Buapak Waris Klana Hilir

YM Dato’ Lela Bangsa merupakan Waris Negeri yang menjadi buapak kepada YM Dato’ Maharaja Lela Lembaga Waris Klana di-Hilir Sungei Ujong. Kedudukannya dianggap timbalan kepada YM Dato’ Maharaja Lela dan boleh menggantikannya jika uzur.

YM Dato’ Lela Bangsa berketurunan Bendahara Sekudai, iaitu Bendahara bagi Empayar Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga menerusi anak kedua iaitu Toh Musang. Diibaratkan batang tubuh kepada YTM Dato’ Klana Petra, YM Dato’ Lela Bangsa juga boleh menyandang pusaka Undang Luak Sungei Ujong jika mendapat kebulatan ibusoko dan anak Waris Klana di-Hulu dan di-Hilir.

YM Dato’ Lela Bangsa membantu Dato’ Maharaja Lela mentadbir Anak-anak Waris Klana di-Hilir (meliputi Kampung Setul Pantai, Kampung Manggis dan Kampung Gedang di Pantai) selain kawasan lingkungan iaitu:

– Mantin Dalam
– Pekan Mantin
– Gebok/Pajam
– Batang Benar

YM Dato’ Lela Bangsa juga membantu YM Dato’ Maharaja Lela dan YM Dato’ Johan Lembaga Waris Klana di-Hulu mentadbir sebahagian Seremban, bandar Port Dickson, Si Rusa dan Pasir Panjang di daerah Port Dickson.

Sekiranya YM Dato’ Maharaja Lela tiada atau tidak dapat menjalankan tugas-tugasnya, maka YM Dato Lela Bangsa boleh mengambil alih sementara tugas sebagai pentadbir adat di kawasan-kawasan berkenaan.

Tanggungjawab penting lain YM Dato’ Lela Bangsa ialah menyelesaikan pemilihan sekiranya berlaku kekosongan pusaka perjawatan YM Dato’ Maharaja Lela.

YM Dato’ Lela Bangsa akan mengumpulkan anak-anak Waris Klana di-Hilir bagi menentukan anak Waris yang akan menyandang pusaka Lembaga Waris Klana di-Hilir Luak Sungei Ujong itu. Beliau akan mempengerusikan sidang kerapatan berkenaan yang dihadiri ibusoko-ibusoko dan anak-anak Waris.

YM Dato’ Lela Bangsa hendaklah memastikan calon yang dipilih oleh Waris Klana di-Hilir mestilah benar-benar menahami adat Sungei Ujong dan fasih mengenai undang-undang negara, khususnya Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh negeri.

Penilaian YM Dato’ Lela Bangsa tentang garis keturunan mengikut nasab ibu dan nasab bapa (saka & baka) juga dititiberatkan supaya calon berkenaan waris yang sebenar-benarnya layak dan berhak menerima pusaka perjawatan YM Dato’ Maharaja Lela.

Bagaimanapun, lazimnya apabila YM Dato’ Maharaja Lela meninggal dunia, penyandang pusaka YM Dato’ Lela Bangsa dipilih sebagai YM Dato’ Maharaja Lela yang berikutnya.

Ia pernah berlaku semasa YM Dato’ Lela Bangsa Raja Abdul Razak dijadikan oleh anak-anak Waris Klana di-Hilir sebagai YM Dato’ Maharaja Lela Lembaga Waris Klana di-Hilir Luak Sungei Ujong.


Nota 1: YM Dato’ Lela Bangsa turut bertanggungjawab dalam hal ehwal agama di Mantin Dalam, Pekan Mantin, Gebok/Pajam dan Batang Benar. Sekiranya YM Dato’ Maharaja Lela tiada, maka anggota kariah masjid dalam jajahan berkenaan boleh merujuk sebarang permasalahan dengan beliau.

Nota 2: Lembaga Lingkungan di Mantin iaitu Dato’ Andatar juga boleh merujuk kepada YM Dato’ Lela Bangsa, sekiranya YM Dato’ Maharaja Lela tiada.

Nota 3: YM Dato’ Lela Bangsa mempunyai seorang pembantu bagi menolongnya dalam pentadbiran di lingkungan Batang Benar yang bergelar YM To’ Siamar Menteri yang disandang anak-anak waris Kampung Batang Benar, namun pusaka perjawatan itu kini masih kosong kerana belum ada pengganti yang layak.

Nota 4: YM Dato’ Lela Bangsa Ahmad Razin bin Abdul Aziz adalah bapa saudara kepada YTM Dato’ Klana Petra Haji Mubarak bin Dohak. Beliau juga cucu kepada YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor Undang Luak Sungei Ujong dan YTM Dato’ Lela Maharaja Haji Ipap bin Abdullah Undang Luak Rembau.

Nota 5: YM Dato’ Lela Bangsa Haji Abdul Malek bin YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor adalah bapa kepada YM Dato’ Orang Kaya Laksamana Shaharumzaman dan pernah menjadi Kadi Daerah Port Dickson. Beliau juga cicit kepada YTM Dato’ Klana Petra Lela Setia Muhammad Yusof.

 

Sumber penceritaan:
1. YM Dato’ Lela Bangsa Buapak Waris Klana di-Hilir Sungei Ujong, 2022.
1. Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Manuskrip Sejarah Sungei Ujong, 1991

kenali:

YANG MULIA Dato sinda maharaja

-BUAPAK WARIS ANDULIKA MANDULIKA-

Telapak YM Dato Sinda Maharaja

YM Dato’ Sinda Maharaja merupakan Waris Negeri yang menjadi buapak kepada YM Dato’ Andulika Mandulika. Penulisan beberapa orientalis Barat menyifatkan YM Dato’ Sinda Maharaja sebagai timbalan kepada YM Dato’ Andulika Mandulika.

Seperti YM Dato’ Andulika Mandulika, YM Dato’ Sinda Maharaja berketurunan Bendahara Sekudai, Bendahara bagi Empayar Kesultanan Johor-Pahang-Riau-Lingga menerusi anak keempatnya iaitu Toh Seri Mani/Menai.

YM Dato’ Sinda Maharaja bertanggungjawab membantu YM Dato’ Andulika Mandulika dalam pentadbiran jajahan kawalannya meliputi Pantai, Ampangan, Gedong Lalang sehinggalah ke sempadan Luak Sungei Ujong di Bukit Putus, Kuala Pilah.

Pada masa yang sama, YM Dato’ Sinda Maharaja juga menjaga pentadbiran membabitkan anak-anak Waris Andulika Mandulika di Pantai, khususnya berkaitan adat dan hal ehwal agama Islam.

Tanggungjawab penting lain YM Dato’ Sinda Maharaja ialah menyelesaikan pemilihan sekiranya berlaku kekosongan pusaka perjawatan YM Dato’ Andulika Mandulika.

YM Dato’ Sinda Maharaja akan mengumpulkan anak-anak Waris Andulika Mandulika bagi menentukan anak Waris yang akan menyandang pusaka Tua Lembaga Waris di-Darat Luak Sungei Ujong itu. Beliau akan mempengerusikan sidang kerapatan berkenaan yang dihadiri ibusoko-ibusoko dan anak-anak Waris.

YM Dato’ Sinda Maharaja hendaklah memastikan calon yang dipilih oleh Waris Andulika Mandulika mestilah benar-benar menahami adat Sungei Ujong dan fasih mengenai undang-undang negara, khususnya Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh negeri.

Penilaian YM Dato’ Sinda Maharaja tentang garis keturunan mengikut nasab ibu dan nasab bapa (saka & baka) juga dititiberatkan supaya calon berkenaan adalah waris yang sebenar-benarnya layak dan berhak menerima pusaka perjawatan YM Dato’ Andulika Mandulika.


Nota 1: YM Dato’ Sinda Maharaja turut bertanggungjawab dalam hal ehwal agama di Pantai, Ampangan dan Gedong Lalang. Sekiranya YM Dato’ Andulika Mandulika tiada, maka anggota kariah masjid dalam jajahan Pantai, Ampangan dan Gedong Lalang boleh merujuk sebarang permasalahan dengan beliau .

Nota 2: Lembaga Tiga di-Pantai iaitu YM Dato’ Menteri, YM Dato’ Maharaja Indera dan YM Dato’ Raja di-Muda juga boleh merujuk kepada YM Dato’ Sinda Maharaja, sekiranya YM Dato’ Andulika Mandulika tiada.


Sumber penceritaan:
1. YM Dato’ Andulika Mandulika Tua Lembaga Waris di-Darat Sungei Ujong, 2022.
2. Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Manuskrip Sejarah Sungei Ujong, 1991

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong