Chupak yang pěpat
Gantang yang piawai,
Bungkal yang betul
Těraju yang baik,
Tidak boleh di-paling lagi.

SISTEM PEMERINTAHAN SUNGEI UJONG

Paterana Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Balai Istiadat dan Kediaman Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Peterana Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

Telaga Undang Luak Sungei Ujong, Pusat Adat Purbakala

Alat Kebesaran Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

kenali:

YANG MUlIA DATO penghulu dagang lenggeng

-LEMBAGA LINGKUNGAN YM DATO JOHAN wARIS kLANA DIhULU-

Pusaka YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng atau lebih dikenali YM Dato’ Dagang Lenggeng diwujudkan YTM Dato’ Klana Petra Sendeng Undang Luak Sungei Ujong ke-V atas permohonan pendekar Rawa bernama Panglima Garang Latun dalam 1840-an.

Mukim Lenggeng pada waktu itu menerima kedatangan ramai orang Melayu Anak Dagang dari Sumatera, selain penduduk dari kawasan lain di Tanah Melayu.

Orang-orang Melayu Anak Dagang ini memerlukan seorang ketua bagi urusan pentadbiran selain menjadi wakil mereka dalam pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra.

YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng sebagai Dato’ Lembaga Lingkungan bernaung di bawah YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu Luak Sungei Ujong.

YM Dato’ Penghulu Dagang bertanggungjawab mengetuai Buapak Waris Melayu Anak Dagang bergelar YM To’ Empat di Lenggeng. Pentadbiran YM Dato’ Penghulu Dagang dibantu tiga Orang Besar iaitu:

– YM Dato’ Menteri Penghulu
– YM Dato’ Baginda Raja (Kampung Daching)
– YM Dato’ Lela (Kampung Daching)

Selain tiga Orang Besar, setakat Disember 2023 rekod mencatatkan terdapat seramai 15 YM To’-To’ Empat di bawah naungan YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng.

Penyandang pusaka perjawatan YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng dipilih dalam kalangan waris Melayu Anak Dagang di Lenggeng menerusi kesepakatan YM To’-To’ Empat.

Namun, sekiranya kebulatan/konsensus gagal dicapai, YM Dato’ Johan Tua Tahu boleh campur tangan dalam menentukan waris Melayu Anak-anak Dagang yang menjadi YM Dato’ Penghulu Dagang.

Antara kampung-kampung di bawah kawal selia YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng:
1. Kampung Tarun
2. Kampung Daching
3. Kampung Daching Seberang
4. Kampung Daching Hilir
5. Kampung Sungai Machang Hulu
6. Kampung Sungai Machang Hilir
7. Kampung Sungai Bioh
8. Kampung Bukit Kepong
9. Kampung Sungai Jai
10 Kampung Sungai Jai Ulu (Kampung Kuntang)
11. Kampung Jelebu
12. Kampung Tengah
13. Kampung Rawa Hilir
14. Kampung Rawa Tengah
15. Kampung Rawa Hulu
16. Kampung Semantong
17. Kampung Masjid
18. Kampung Katub
19. Kampung Terendam
20. Kampung Sompo
21. Pekan Lenggeng
22. Pekan Broga

Sementara itu, taman-taman perumahan di bawah jagaan YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng adalah:
1. Bandar Tasik Senangin/Mahkota Hill
2. Taman Klana Jaya
3. Rumah Rakyat Lenggeng

Terdapat enam masjid di bawah YM Dato’ Penghulu Dagang di jajahan Lenggeng iaitu:

1. Masjid Kariah Lenggeng (Masjid Batu) – masjid adat bagi Waris Anak-anak Dagang Lenggeng
2. Masjid Kariah Sungai Machang Hilir
3. Masjid Kariah Sungai Machang Ulu
4. Masjid Kariah Sungai Jai
5. Masjid Kariah Kampung Daching
6. Masjid Bandar Tasik Senangin (dalam pembinaan)

Antara peranan YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng ialah menjadi wakil YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu dalam menjalankan pemerintahan di jajahan Lenggeng. Peranan-peranan itu ialah:

– Mengetuai YM To’-To’ Empat memastikan perjalanan pentadbiran agama Islam dan adat Lenggeng berjalan lancar.

– Mengetuai YM To’-To’ Empat menjaga hal ehwal institusi agama Islam seperti masjid, urusan nikah kahwin dan perkara berkaitan agama di Lenggeng. Antaranya: –
i) urusan nikah kahwin waris
ii) urusan penetapan mas kahwin waris
iii) memastikan tiada amalan ajaran sesat di kariah masjid
iv) memperaku calon pegawai masjid bagi kariah masing-masing
v) mencalonkan pegawai masjid untuk watikah YTM Dato’ Klana Petra
vi) mengimarahkan aktiviti masjid dan kemasyarakatan
vii) menyelia persempadanan kariah masjid-masjid

– Memberi dan menyampaikan pandangan waris Melayu Anak-anak Dagang di Lenggeng terhadap YM Dato’ Lembaga Waris Klana di-Hulu untuk dipersembahkan kepada YTM Dato’ Klana Petra berhubung perkara berkaitan agama Islam, adat dan hal negeri.

– Menjaga kedudukan istimewa orang Melayu termasuk tanah simpanan Melayu di Lenggeng serta kepentingan sah kaum lain.

Nota 1: Istilah ‘Melayu Anak Dagang’ merujuk kepada suku-suku pribumi Nusantara yang bukan penduduk asal Semenanjung. Mereka berasal dari Kepulauan Indonesia, Champa, Filipina dan Brunei.

Nota 2: Sebelum pengenalan pentadbiran kolonial Inggeris, YM Dato’ Penghulu Dagang diberi kuasa mengutip cukai, denda mahkamah dan zakat di Lenggeng.

Nota 3: Kutipan cukai dan zakat itu diserahkan kepada YM Dato’ Johan Tua Tahu untuk dibawa ke Pantai, dan kemudian diserahkan kepada YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Nota 4: Selepas kemerdekaan pada 1957, YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng masih mengutip zakat sehinggalah kuasa itu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan pada 1960-an.

Nota 5: Lingkungan Lenggeng tidak mengamalkan Adat Perpatih dan tiada tanah adat melainkan Tanah Simpanan Melayu. Amalan adatnya hampir sama dengan adat asli Minangkabau yang disesuaikan dengan masyarakat setempat.

Nota 6: Bekas menteri Tan Sri Rais Yatim merupakan Waris Melayu Anak Dagang Lenggeng (daripada Waris Anak Agam) di bawah kuasa YM Dato’ Penghulu Dagang. Ibunya berasal dari Kampung Katub, Lenggeng sebelum berhijrah ke Jelebu.

Nota 7: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan YB Dato’ Haji Zulkefly Mohamad bin Omar juga antara Waris Melayu Anak Dagang (daripada Waris Biduanda Rembau Lenggeng) dan di bawah kekuasaan YM Dato’ Penghulu Dagang.

Nota 8: Dari segi kekananan, kedudukan YM Dato’ Penghulu Dagang selepas YM Dato’ Lela Perkasa Mendom di Lingkungan Lenggeng, namun mempunyai buapak paling ramai berbanding Dato’ Lembaga Lingkungan lain di Sungei Ujong.

Nota 9: Dalam kerapatan adat pada Februari 2023 di Masjid Khairiah Lenggeng, telah disepakati dan dipersetujui YM Dato’ Johan Tua Tahu, YM Dato’ Lela Perkasa Mendom, YM To’-To’ Empat dan YM To’-To’ Buapak bahawa dua lagi kariah masjid di Nilai (Masjid Al-Azim Taman Semarak & Masjid Nilai Impian) diletakkan di bawah seliaan YM Dato’ Penghulu Dagang.

Nota 10: YM Dato’ Penghulu Dagang berhak menerima tiga das tembakan meriam penghormatan (gun salute) semasa istiadat berlangsung.


Sumber penceritaan:

1. Warta Kerajaan Negeri Sembilan, Nicholson F.W, 1894
2. JMBRAS, Adat Sungei Ujong, 1895
3. JMBRAS, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
4. Minit mesyuarat perjumpaan ketua-ketua adat Lenggeng, YM Dato’ Penghulu Dagang Haji Abdullah bin Haji Yusof, 1959
5. Sejarah Pertempatan dan Perkembangan Ekonomi Masyarakat Minangkabau di Lenggeng, Negeri Sembilan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Nazilah Mat Naziri, 1988
6. Minit mesyuarat perjumpaan ketua-ketua adat Lenggeng dengan Yang Mulia Dato’ Johan, YM To’ Empat Kumpulan Haji Othman bin Rasul, 2003
7. Portal Rasmi Masjid Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2022
8. Artikel Melayu Anak Dagang di Tanah Melayu, Ruhul Hayat, laman web lelarentaka.com, 6 Mac 2022

kenali:

YANG MUlIA DATO andatar mantin

-LEMBAGA LINGKUNGAN YM DATO maharaja lela wARIS kLANA DIhilir-

Jajahan atau mukim Setul (Mantin) diketuai pembesarnya yang bergelar YM Dato’ Andatar. Mengikut rekod sejarah, penyandang pusaka perjawatan YM Dato’ Andatar mesti berketurunan Toh Sapil, iaitu peneroka yang membuka mukim Setul.

YM Dato’ Andatar berstatus Dato’ Lembaga Lingkungan di bawah naungan YM Dato’ Maharaja Lela Lembaga Waris Klana di-Hilir Luak Sungei Ujong. Kawasannya meliputi Pekan Mantin, Mantin Dalam, Pajam dan Kampung Gebok.

Pentadbiran YM Dato’ Andatar Mantin dibantu oleh timbalannya bergelar YM To’ Menteri. YM To’ Menteri merupakan bakal penyandang dan automatik menjadi YM Dato’ Andatar sekiranya berlaku kekosongan perjawatan pusaka.

Terdapat tiga waris utama yang mendiami Setul boleh menjadi YM To’ Menteri dan seterusnya bakal menyandang pusaka YM Dato’ Andatar. Kumpulan waris itu ialah:

1. Biduanda Pantai
2. Biduanda Klang
3. Biduanda Setul

Sebelum kemerdekaan pada 1957, YM Dato’ Andatar memungut cukai, denda mahkamah dan zakat di kawasan jagaannya di jajahan Setul (Mantin). Selepas kemerdekaan, kuasa memungut cukai itu diserahkan kepada pihak berkuasa negeri. Bagaimanapun YM Dato’ Andatar masih berkuasa dalam hal ehwal agama Islam dan adat di jajahan Setul (Mantin).

Selain timbalannya YM To’ Menteri, pentadbiran YM Dato’ Andatar dibantu oleh empat lagi buapak iaitu:

1. YM To’ Mangku
2. YM To’ Dagang Kerinci
3. YM To’ Dagang Gebok
4. YM To’ Senara

Buapak-buapak ini akan memudahkan urusan pentadbiran YM Dato’ Andatar dan mengatur keperluan anak-anak waris di jajahan Setul (Mantin) mengikut adat istiadat dan hal ehwal agama Islam.


Nota 1: YM Dato’ Andatar Mantin tidak terlibat dalam pemilihan YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong. Beliau bukan Waris Negeri dan hanya sebagai Waris Lingkungan bagi Waris di-Darat Luak Sungei Ujong.

Nota 2: Terdapat tiga kariah masjid di bawah tanggungjawab YM Dato’ Andatar Mantin iaitu Masjid Kariah Mantin Dalam, Masjid Kariah Pekan Mantin dan Masjid Kampung Gebok. Semua anggota kariah masjid berkenaan hendaklah merujuk YM Dato’ Andatar Mantin berkenaan hal ehwal masjid termasuk perakuan pencalonan jawatankuasa dan pegawai masjid.

Nota 3: YM Dato’ Andatar Mantin berhak menerima tiga das tembakan meriam penghormatan (gun salute) semasa berlangsung istiadat.


Sumber penceritaan:
1. YM Dato’ Lela Bangsa Buapak Waris Klana di-Hilir Sungei Ujong, 2022.
2. JSBRAS Vol 83, Sungai Ujong, RJ Wilkinson, 1921
3. JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
4. Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Manuskrip Sejarah Sungei Ujong, 1991

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong