Chupak yang pěpat
Gantang yang piawai,
Bungkal yang betul
Těraju yang baik,
Tidak boleh di-paling lagi.

SISTEM PEMERINTAHAN SUNGEI UJONG

Paterana Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Balai Istiadat dan Kediaman Kebawah Kaus YTM Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Peterana Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

Telaga Undang Luak Sungei Ujong, Pusat Adat Purbakala

Alat Kebesaran Telaga Undang Luak Sungei Ujong.

kenali:

YANG MUlIA DATO LEMBAGA 3 PANTAI

-LEMBAGA LINGKUNGAN YM DATO ANDULIKA MANDALIKA-

Terdapat tiga Dato’ Lembaga di Pantai dalam Luak Sungei Ujong bertanggungjawab menjadi pentadbir kepada tiga kumpulan waris lingkungan di jajahan itu. Dato’-Dato’ Lembaga berkenaan diletakkan di bawah kekuasaan YM Dato’ Andulika Mandalika Tua Lembaga Waris di-Darat. Mereka ialah:

1. Dato’ Menteri – Waris Semelenggang Pantai
Berketurunan Dato’ Alon Tujuh yang berasal dari Johor-Riau. Mengikut catatan sejarah Dato’ Alon Tujuh adalah pengikut Dato’ Bendahara Skudai yang bersama mudik menyusuri Sungai Linggi pada abad ke-17. Beliau kemudian berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap di Pantai. Keturunan hasil perkahwinan itu menjadi kumpulan anak-anak Waris Semelenggang Pantai.

2. Dato’ Maharaja Indera – Waris Batu Hampar Pantai
Asal usul kumpulan waris ini sebenarnya dari Pasai, Aceh dan langsung tiada kaitan dengan kelompok orang Minangkabau. Mereka dianggap Waris Batu Hampar kerana singgah di Batu Hampar, Sumatera semasa perjalanan hijrah ke Pantai.

3. Dato’ Raja di-Muda – Waris Biduanda Pantai
Kumpulan waris ini berketurunan Batin Ma’abod. Batin Ma’abod berkahwin dengan penghijrah Minangkabau yang menetap di Pantai, sekali gus menghasilkan keturunan yang menjadi Anak-anak Waris Biduanda Pantai.

Ketiga-tiga Dato’ Lembaga ini diberi kuasa untuk mentadbir anak waris masing-masing di mukim Pantai. Mereka bertiga bertanggungjawab memastikan aturan Adat Purbakala dipatuhi oleh anak waris masing-masing. Pada masa sama, Dato’ Lembaga Tiga di-Pantai melicinkan lagi pentadbiran YM Dato’ Andulika Mandalika yang mempunyai kawasan jagaan lingkungan yang luas.

Sebelum pentadbiran kolonial Inggeris, mereka berperanan mengutip cukai, denda kesalahan dan zakat daripada anak waris masing-masing sebelum diserahkan kepada YM Dato’ Andulika Mandalika. YM Dato’ Andulika Mandalika kemudian menyerahkan hasil cukai, denda dan zakat itu kepada YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong.

Malah sebelum campur tangan British, Dato’-Dato’ Lembaga Tiga banyak menjalankan tugas-tugas pentadbiran pembangunan, keselamatan, perpaduan, agama dan kebajikan membabitkan waris masing-masing di Pantai.

Ia termasuk mengawasi pentadbiran masjid, surau dan pembangunan penempatan yang didiami waris masing-masing. Sekiranya urusan pentadbiran itu tidak dapat diselesaikan, maka ia akan diadukan kepada YM Dato’ Andulika Mandalika untuk mendapat kata putus.

Pemilihan penyandang pusaka bagi Dato’ Lembaga Tiga di-Pantai dipilih oleh anak waris masing-masing sebelum dipersembahkan kepada YM Dato’ Andulika Mandalika. Kebiasaannya calon yang dipilih memahami istiadat dan adat di Balai Undang Luak Sungei Ujong selain dapat diterima semua anak-anak waris Dato’-Dato’ Lembaga Tiga di-Pantai.

YM Dato’ Andulika Mandalika kemudiannya mempersembah maklum pelantikan bagi Dato’-Dato’ Lembaga Tiga di-Pantai itu ke bawah kaus YTM Dato’ Klana Petra di Balai Undang.

Nota 1: Kebanyakan tugas Dato’ Lembaga Tiga di-Pantai telah diambil-alih oleh penghulu lantikan Kerajaan Negeri Sembilan di mukim Pantai. Namun mereka masih bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam membabitkan waris masing-masing seperti urusan perkahwinan, mahar pernikahan, pentadbiran masjid kariah dan surau.

Nota 2: Dato’ Lembaga Tiga di-Pantai tidak berhak menyandang pusaka YTM Dato’ Klana Petra dan tidak terbabit dalam pemilihan Dato’ Undang Luak Sungei Ujong. Mereka hanya menjadi pemerhati dan orang tengah bagi pihak YM Dato’ Andulika Mandalika dalam pemilihan itu.

Nota 3: Semua Dato’ Lembaga Tiga di-Pantai berhak menerima tiga das tembakan meriam penghormatan (gun salute) semasa istiadat berlangusng.

Sumber penceritaan:
1. YM Dato’ Andulika Mandalika Tua Lembaga Waris di-Darat Sungei Ujong, 2022
2. JMBRAS Vol 22 ‘Sungei Ujong’ oleh J.M. Gullick, 1949
3. JSBRAS Vol 83 ‘Sungai Ujong’ oleh R.J Wilkinson, 1921
4. JMBRAS Vol 23 ‘The Mandalika of Sungai Ujong’ oleh R.O Winstedt, 1950
5. Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Manuskrip Sejarah Sungei Ujong, 1991

kenali:

YANG MUlIA DATO LELAPERKASA MENDOM

-LEMBAGA LINGKUNGAN YM DATO JOHAN wARIS kLANA DIhULU-

YM Dato’ Lela Perkasa Mendom merupakan Dato’ Lembaga Lingkungan bersalasilah bawah naungan YM Dato’ Johan Lembaga Waris Klana di-Hulu. Pusaka perjawatan ini berasal daripada ketua Orang Asli Sakai iaitu Tok Batin Kamat yang membuka Lenggeng dan Mendom antara 1600 hingga 1700 Masihi.

Penyandang YM Dato’ Lela Perkasa Mendom mesti daripada salasilah Tok Batin Kamat mengikut nasab ibu. Mengikut Adat Purbakala Sungei Ujong, kawasan dalam pentadbiran YM Dato’ Lela Perkasa hanya kariah Masjid Kariah Mendom.

Bagaimanapun dalam 1970-an semua kampung dan penempatan kariah Masjid Kariah Ulu Beranang yang sebelumnya di bawah YM Dato’ Penghulu Dagang Lenggeng, diletak bawah pentadbiran YM Dato’ Lela Perkasa Mendom, selepas mendapat persetujuan YM Dato’ Johan Lembaga Waris Klana di-Hulu.

Antara penempatan-penempatan di bawah YM Dato’ Lela Perkasa membabitkan dua kariah itu pada masa sekarang ialah:

1. Kampung Mendom
2. Kampung Jelatok
3. Kampung Kelusau
4. Kampung Sungai Bunga
5. Kampung Ulu Beranang
6. Kampung Pendekar Raja
7. Kampung Lombong Jernih
8. Kampung Kapal
9. Rumah Rakyat Ulu Beranang
10. Taman Melati Ulu Beranang

Terdapat tujuh pembesar bertaraf Buapak di bawah YM Dato’ Lela Perkasa Mendom bagi membantunya mentadbir penduduk-penduduk di dua kariah berkenaan meliputi hal adat dan hal ehwal agama Islam. Ia termasuk perkara-perkara berkaitan pelantikan pegawai dan jawatankuasa masjid.

Sebelum zaman campur tangan British di Sungei Ujong, YM Dato’ Lela Perkasa berkuasa mengutip cukai, denda mahkamah dan zakat daripada penduduk Kampung Mendom.

Nota 1: YM Dato’ Lela Perkasa Mendom berhak mendapat tiga das tembakan meriam penghormatan (gun salute) semasa berlangsungnya istiadat.

Nota 2: Kuasa YM Dato’ Lela Perkasa Mendom dalam hal ehwal agama Islam termasuk perkara-perkara berkaitan pelantikan pegawai dan jawatankuasa masjid masih berkuatkuasa sehingga hari ini, selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Nota 3: Anak-anak kariah Masjid Mendom dan Masjid Ulu Beranang dikehendaki mendapatkan perakuan YM Dato’ Lela Perkasa Mendom dalam soal pencalonan pegawai dan jawatankuasa masjid sebelum berurusan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Nota 4: Sebarang rancangan pembangunan Masjid Kariah Mendom dan Masjid Kariah Ulu Beranang oleh mana-mana pihak berkuasa (termasuk Kerajaan Negeri) atau pihak swasta wajar melalui perundingan dengan YM Dato’ Lela Perkasa Mendom terlebih dahulu lantaran kedudukannya sebagai pembesar di dua kariah itu.

Sumber penceritaan:
1. YM To’ Singa Maharaja, 2022
2. Warta Kerajaan Negeri Sembilan, Nicholson F.W, 1895
3. JSBRAS Vol 83, Sungai Ujong, RJ Wilkinson, 1921
4. JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong, JM Gullick, 1949
5. Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Manuskrip Sejarah Sungei Ujong, 1991

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong