bangunan
warisan
100%
Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar
Telaga Undang ialah rumah atau tempat bagi Dato’-dato’ Lembaga, Waris-waris Negeri dan Ibu Soko Waris di-Darat (Waris Klana di-Hulu dan Waris Klana di-Hilir) berunding mengenai adat dan agama di Luak Sungei Ujong. Telaga Undang hendaklah ditempatkan di salah sebuah rumah Ibu Soko Kanan Waris Klana di-Hulu.
Tempat persidangan bagi Luak Sungei Ujong terletak di Kampung Telaga Undang, Batu 9 Pantai, Seremban. Ketika ini terdapat empat rumah milik Ibu Soko Waris Klana di-Hulu di kampung itu yang berhak menempatkan Telaga Undang.
Ia boleh berpindah antara empat rumah milik Ibu Soko Waris Klana di-Hulu itu mengikut keadaan dan kesesuaian waktu. Keempat-empat rumah ini juga mempunyai telaga mata air tidak pernah kering sehingga hari ini.
Kenapa dipanggil Telaga Undang? Perkataan ‘Telaga’ diguna kerana telaga berisi air jernih. Justeru sebagai perlambangan, di Telaga Undang kekusutan adat dan agama diselesai dan menjadi jernih seperti air telaga.
Telaga juga antara elemen penting dalam tamadun. Telaga adalah punca air yang menjadi sumber kekuatan makhluk ciptaan Allah SWT untuk beribadah menyembahnya.
Institusi Telaga Undang wujud pada zaman pemerintahan YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin YM Dato’ Menteri Kassim untuk menyelesaikan sebarang kekusutan dari segi pentadbiran negeri, adat dan agama di Luak Sungei Ujong.
Pada 10 Mei 1902, satu perjanjian dipersetujui YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin YM Dato Menteri Kassim dan semua Dato’-dato’ Lembaga bahawa hanya Ibu Soko daripada Waris Klana di-Hulu diberi mandat mentadbir Telaga Undang.
Justifikasinya ialah, pusaka Klana Petra mula-mula sekali disandang Dato’ Klana Petra Bador daripada Waris Klana di-Hulu.
Mengikut perjanjian itu juga, Ibu Soko Waris Klana di-Hulu yang memelihara dan mentadbir Telaga Undang hendaklah diberi elaun atau ‘pemakanan’ sebanyak $201 Straits Dollar.
Secara tidak langsung ia mewujudkan pusaka (perjawatan) YM Telaga Undang, disandang khusus untuk Ibu Soko Klana di-Hulu bagi pentadbiran Telaga Undang.
Fungsi Telaga Undang penting dalam menyelesaikan masalah adat dan agama di Luak Sungei Ujong.
Apa-apa keputusan persidangan di Telaga Undang disah atau dibatal YM Dato’ Andulika Mandulika sebagai Tua Lembaga di Telaga Undang sebelum dipersembah Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong untuk penghukuman.
Ia selaras dengan perbilangan:
“Sah batal pada Dato’ Nika (Andulika Mandulika), hidup mati pada Dato’ Klana Petra.”
Fungsi Telaga Undang hampir sama seperti badan perundangan negeri. Apa-apa jua isu dibahas dan diputus di Dewan Undangan Negeri sebelum diperkenan Raja negeri. Melainkan Dewan Undangan Negeri tergantung, barulah Raja campur tangan untuk mendapat keadilan.
Sebelum Balai Undang diwujudkan kerajaan negeri untuk dijadikan kediaman rasmi YTM Dato’ Klana Petra, Dato’-Dato’ Lembaga dan Tua-tua Waris serta Ibu-ibu Soko akan mengadap YTM Dato’ Klana Petra di Telaga Undang pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan Hari Raya Aidiladha pertama.
Pada hari berkenaan, di pangkal serambi rumah Ibu Soko Telaga Undang itu dipasang tabir langit-langit, sampaian, peterana tiga tingkat dan gunung berangkat dengan silang gunting.
Di pekarangan rumah Telaga Undang diadakan tonggol, ular-ular, panji-panji, payung kebesaran, tombak, pedang, keris panjang dan keris pendek ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Setelah YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor berpindah ke Balai Undang di Ampangan, adat istiadat pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan Hari Raya Aidiladha pertama di Telaga Undang masih diteruskan.
Pada setiap hari pertama perayaan itu, Dato’-dato’ Lembaga Luak Sungei Ujong datang bersidang di Telaga Undang. Sebelum persidangan, kesemua Dato’-dato’ Lembaga dan kesemua dato’-dato’ lain akan bertemu dan bersalaman dengan YM Ibu Soko Telaga Undang untuk perkenan memulakan persidangan adat istiadat.
Pada Aidilfitri kedua dan Aidiladha kedua, barulah berlangsung adat istiadat menjunjung kasih Ke Bawah Kaus YTM Dato’ Klana Petra di Balai Undang.
Bagaimanapun, sebelum setiap istiadat di Balai Undang berjalan, YM Telaga Undang terlebih dahulu perlu dijemput mengikut istiadat dengan bertepak sirih.
Telaga Undang juga salah satu tempat berlangsungnya istiadat kerjan YTM Dato’ Klana Petra sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Antara alat kebesaran di Balai Undang terdapat empat meriam besar manakala Telaga Undang diperuntukkan dua meriam besar. Selain itu Balai Undang mempunyai enam meriam lela manakala Telaga Undang diletakkan tiga meriam lela.
Pada 2008, YM Ibu Soko Telaga Undang Rahimah binti YM Dato Amar Setia Alwi pernah menyatakan bahawasanya setiap pelantikan Dato’-dato’ adat yang di bawah Dato’ Lembaga hanya sampai ke Telaga Undang atau kepada Dato’ Lembaga yang berkenaan sahaja.
Ia termasuk pelantikan juak-juak hulubalang yang senjata kebesarannya bersemayam di Telaga Undang; hanya sampai ke peringkat Telaga Undang sahaja.
Separuh senjata-senjata yang bersemayam di Telaga Undang itu melambangkan atau mewakili juak hulubalang di bawah YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu Luak Sungei Ujong.
Sumber:
1) Bustamam Ahmad. Telaga Undang untuk selesai masalah adat. Berita Harian, 5 Mac 1988
2) YM Telaga Undang Rahimah binti YM Dato’ Amar Setia Alwi, 2008
3) YM Dato’ Andulika Mendulika Tua Lembaga Waris di-Darat Sungei Ujong, Jun 2022
4) YM Dato’ Johan Tua Tahu Lembaga Waris Klana di-Hulu, Mei 2022.
Hak Cipta © 2023 Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.