Tidak Semua Luak Amal Adat Perpatih Di Negeri Sembilan

Negeri Sembilan sering dikaitkan sebagai negeri yang mengamalkan Adat Perpatih, hakikatnya, Negeri Sembilan mengamalkan pelbagai jenis adat. Adat Perpatih hanya diamal di sebahagian negeri, khususnya di Kuala Pilah dan Rembau. Berikut adat yang diamalkan mengikut luak di Negeri Sembilan:

Sungei Ujong: Adat Zaman Purbakala

* Waris Dato’ Undang berketurunan langsung daripada keluarga Bendahara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang

* Penyandang pusaka ditentukan mengikut nasab ibu, diikuti bapa (saka dan baka)

* Mengamalkan sistem adat mengikut jalur keturunan keluarga atau waris mengikut nasab ibu, diikuti bapa (saka dan baka)

* Hanya amalkan sistem waris

* Dato’ Undang mengetuai negeri bersama Yang di-Pertuan Besar

* Dato’ Undang mempunyai kuasa berkeadilan

* Dato’ Lembaga menjaga kawasan/lingkungan/jajahan

* Tua Waris menjaga waris masing-masing

* To’ Buapak menjaga anak buah dalam perut waris

* Tiada tanah adat dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum syarak

* Mempunyai undang-undang bertulis sendiri sejak zaman kesultanan Melayu Melaka iaitu Undang-undang Sungei Ujong

Jelebu: Adat Zaman Purbakala

* Waris Dato’ Undang berketurunan langsung daripada keluarga Bendahara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang

* Penyandang pusaka ditentukan mengikut nasab ibu

* Mengamalkan sistem adat mengikut jalur keturunan keluarga mengikut nasab ibu

* Ada sistem waris dan sistem bersuku-suku

* Dato’ Undang menjaga negeri bersama Yang di-Pertuan Besar

* Dato’ Undang mempunyai kuasa berkeadilan

* Dato’ Lembaga Waris Bersalasilah/Waris Negeri dan Waris Berundang menjaga waris

* Dato’ Lembaga Yang Tiga dan Dato’ Lembaga Kurnia menjaga suku

* To’ Buapak menjaga anak buah dalam perut waris/suku

* Ada tanah adat dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum adat berdasarkan nasab ibu, selaras Perkara 90 Perlembagaan Persekutuan dan enakmen tanah adat di Negeri Sembilan

* Mempunyai undang-undang bertulis sendiri dikenali Kanun Adat Jelebu yang diwarisi daripada Dato’ Undang Jelebu pertama Dato’ Moyang Salleh. Mengandungi empat fasal iaitu:

1. Pertama mencabut, kedua bertanam, sah sekata, berkerapatan Dato’-dato’ Yang Delapan. Kata bercari kepade Lembaga Yang Tiga iaitu Dato’ Cincang, Dato’ Mengerang dan Dato’ Senara.

2. Tali adat kepada Menteri, tali pesaka kepada Ombi, sah batal surut lalu Undang kepada warisnya, hidup mati kepada Undang, gemuk berpupuk segar bersiram kepada warisnya.

3. Apabila Waris Ulu Jelebu menjadi Undang, Dato’ Raja Balang titian adat, apabila Waris Kemin menjadi Undang, Dato’ Maharaja Inda titian adat, apabila Waris Sarin menjadi Undang, Dato’ Paduka titian adat (sekarang Dato’ Raja Diraja/Dato’ Raja Penghulu).

4. Apabila rosak pesaka bertengok kepada Dato’ Ombi, apabila rosak adat bertengok kepada Dato’ Menteri; patah tumbuh hilang berganti. Ganti hidup berkerelaan, ganti mati berkebulatan

Johol: Adat Benar

* Waris Dato’ Undang berketurunan langsung daripada keluarga Bendahara Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang

* Penyandang pusaka ditentukan mengikut waris tertua mengikut nasab ibu

* Mengamalkan sistem adat mengikut jalur keturunan keluarga atau waris mengikut nasab ibu

* Ada sistem waris dan ada sistem bersuku-suku

* Dato’ Undang menjaga negeri bersama Yang di-Pertuan Besar

* Dato’ Undang berkuasa selepas mendapat muafakat waris berundang (Dato’ Buapak Waris)

* Ada Dato’ Lembaga menjaga jajahan dan ada juga menjaga suku di dalam jajahan

* Dato’ Buapak Waris menjaga waris berundang dalam adat

* Ada tanah adat dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum adat berdasarkan nasab ibu, selaras Perkara 90 Perlembagaan Persekutuan dan enakmen tanah adat di Negeri Sembilan

* Mempunyai undang-undang bertulis sendiri dikenali Teromba Dato’ Johol

Rembau: Adat Perpatih

* Waris Dato’ Undang berketurunan Toh Lela Balang dan Toh Laut Dalam, dua beradik dari suku Minangkabau

* Penyandang pusaka ditentukan mengikut nasab ibu

* Mengamalkan sistem adat mengikut jalur keturunan keluarga mengikut nasab ibu

* Hanya amalkan sistem bersuku-suku

* Dato’ Undang menjaga negeri bersama Yang di-Pertuan Besar

* Dato’ Undang berkuasa selepas mendapat muafakat Dato’ Lembaga Tiang Balai

* Dato’ Lembaga menjaga suku

* To’ Buapak menjaga anak buah dalam perut suku

* Ada tanah adat dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum adat berdasarkan nasab ibu, selaras Perkara 90 Perlembagaan Persekutuan dan enakmen tanah adat di Negeri Sembilan

Tampin: Adat Wilayah Tampin

* Waris Tunku Besar Tampin berketurunan langsung Syed Syaaban bin Syed Ibrahim al-Qadri mengikut nasab bapa

* Penyandang pusaka Tunku Besar Tampin ditentukan mengikut nasab bapa mulai Tengku Syed Abdul Hamid bin Tengku Syed Syaaban al-Qadri

* Tunku Besar Tampin berkuasa secara berdiri sendiri

* Tunku Besar Tampin boleh menentukan penyandang pusaka Dato’ Penghulu Pesaka mengikut nasab ibu

* Dato’ Lembaga ditentukan mengikut nasab ibu dalam jajahan di wilayah Tampin

* Tunku Besar Tampin amalkan sistem waris bernasabkan bapa dan penyandang pusaka adat lain amalkan sistem bersuku-suku

* Dato’ Penghulu Pesaka menjaga jajahan dan Dato’ Lembaga menjaga suku dalam jajahan di wilayah Tampin

* Ada tanah adat dan pembahagian harta pusaka mengikut hukum adat berdasarkan nasab ibu untuk suku yang berkenaan, selaras Perkara 90 Perlembagaan Persekutuan dan enakmen tanah adat di Negeri Sembilan

Sumber penceritaan:

1. Rembau, One of the Nine States: Its History, Constitution, and Customs oleh CWC Parr dan WH Mackray, 1910

2. Adat Laws in Modern Malaya: Land Tenure, Traditional Government and Religion oleh Micheal Barry Hooker, 1972

3. Negeri Sembilan Gemuk Berpupuk Segar Bersiram: Luak Jelebu oleh Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri dan Kerajaan Negeri Sembilan, 1994

4. Negeri Sembilan Gemuk Berpupuk Segar Bersiram: Luak Johol oleh Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri dan Kerajaan Negeri Sembilan, 1996

5. The Rulers of Malaysia: The Four Undang and Tunku Besar Tampin dan Installation of the Undang and Tunku Besar Tampin oleh Norhalim Ibrahim, 2011

Hak Millik © Copyrights 2024. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong