Sejarah
sungei Ujong
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
100%
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar
Potret lelaki bermisai nipis dan bertanjak ini amat popular dalam penceritaan sejarah negara. Ada mendakwa ia wajah Dato’ Dol Said Penghulu Naning dan ada mengatakan ia wajah YAM Tuan Antah dan Dato’ Klana Syed Abdul Rahman Undang Luak Sungei Ujong.
Hal ini telah lama dibahaskan berhubung wajah tokoh sebenar yang potretnya merata tempat khususnya di media sosial dalam mendidik anak bangsa mengenai sejarah negara.
Tokoh sebenar yang wajahnya diabadikan di potret itu ialah YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman bin Syed Ahmad al-Qadri. Bapanya adalah kerabat Tunku Besar Tampin dan disebabkan itu adakalanya beliau memakai gelar Tunku Klana Petra. Ibunya bernama Che Hitam (Ibusoko Waris Klana di-Hilir), adik perempuan kepada YTM Dato’ Klana Petra Bahi.
Pada masa sama beliau juga anak saudara kepada YTM Dato’ Klana Kawal dan YTM Dato’ Klana Sendeng. Sebelum menjadi Undang Sungei Ujong, Dato’ Syed Abdul Rahman menyandang pusaka YM Dato’ Orang Kaya Laksamana. Beliau terkenal sebagai tokoh memainkan peranan besar dalam perang saudara Sungei Ujong dan Perang Bukit Putus.
Gambar asal beliau itu sebenarnya bersama anak perempuannya tersimpan kemas di arkib Waris Klana. Malah gambar itu juga disalin oleh Arkib Negara dan direkodkan sebagai Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman. Gambar itu dirakam sekitar tahun 1878-1879 di kedai gambar Lot 54, Victoria Street, Singapura oleh jurugambar bernama Loo Pun Ting.
Malah tanjak yang dipakai ketika bergambar itu juga masih tersimpan rapi oleh Waris Klana. Tanjaknya diperbuat daripada kayu dan dililit dengan kain untuk memudahkan pemakaian.
Sehubungan itu, berdasarkan bukti-bukti konkrit ini tidaklah benar cakap-cakap atau dakwaan yang mengatakan wajah potret itu adalah YAM Tuan Antah atau Dato’ Dol Said Penghulu Naning. Semoga penjelasan ini memanfaatkan kita semua.
Wallahualam
Nota 1: Jika itu gambar YAM Tuan Antah kenapa ia berada dalam simpanan waris Klana Sungei Ujong sejak 1870-an? Gambar itu juga tidak pernah ditemui di mana-mana istana di Seri Menanti.
Nota 2: Bagaimana dikatakan itu gambar YAM Tuan Antah sedangkan ia dirakam pada 1878-1879 sedangkan YAM Tuan Antah telah kembali ke Seri Menanti pada 1877?
Nota 2: YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman mempunyai empat anak lelaki iaitu 1)Syed Muhammad; 2)Syed Ali; 3)Syed Ismail; 4)Syed Hassan. Tiada mana-mana catatan atau dalam pengetahuan waris Klana Sungei Ujong wujud anak bernama Syed Abdullah.
Nota 3: YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman meninggal dunia di Makkah selepas menunaikan ibadah haji dan bukannya dibunuh di Singapura. Beliau kembali ke rahmatullah selepas dijangkiti penyakit disenteri semasa di Makkah.
Sumber rujukan:
1) YM Dato’ Lela Bangsa Sungei Ujong (waris Dato’ Klana Syed Abdul Rahman sebelah ibu Che Hitam)
2) YM Ibusoko-Ibusoko Waris Klana di-Hulu Sungei Ujong (salah seorang YM Ibusoko daripada keluarga al-Qadri)
3) The War with Yam Tuan Antah, J.M Gullick, Mei 1954
4) Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu Jilid 4
5) War in Negeri Sembilan, Tharumaratham Chelliah, 1955
6) A Chapter of Sungai Ujong, The Golden Chersonese, Isabella L. Bird Bishop, 1883