Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Sejarah
sungei Ujong

Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.

100%

Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar

Waris Biduanda Klang Luak Sungei Ujong

Peta Labu & Rantau Luak Sungei Ujong

Waris Biduanda Klang Luak Sungei Ujong berasal dari Istana Selangor di Klang. Mereka ialah keturunan kerabat Sultan Selangor Sultan Muhammad Shah iaitu Raja Mahadi dan pengikutnya yang berhijrah ke Labu dan Rantau semasa Perang Saudara Selangor 1867-1873.

Dalam tahun-tahun akhir perang saudara itu, Raja Mahadi berundur ke Kota Tinggi, Johor dari Kuala Linggi atas desakan Raja Sulaiman pemerintah daerah Sungai Raya. Ia menyebabkan sebahagian pengikut dan kerabat Selangor yang menyokongnya, menghulu Sungai Linggi bernaung sementara waktu ke Kerajaan Sungei Ujong.

Orientalis Inggeris J.M Gullick menyatakan orang Bugis bertapak di Kampung Pengkalan Siliau sekitar 1875. Pada masa itu, kampung tersebut didiami orang Asli.

YTM Dato’ Klana Petra Syed Abdul Rahman al-Qadri Undang Luak Sungai Ujong meminta mereka tidak mudik ke hulu Sungai Linggi kerana Inggeris mula masuk campur dalam pemerintahan dan menyokongnya menentang YAM Dato’ Syahbandar Sungei Ujong.

Sehubungan itu, YM Dato’ Akhirzaman Rantau Jaamat diarah untuk menyuruh orang Asli di Kampong Siliau menanggung makan minum mereka sehingga kembali. Manakala anggota kerabat Selangor dibawa tinggal antara Pengkalan Ketam dengan Kampung Landas, sekitar perkampungan YM Dato’ Akhirzaman Jaamat di Kampung Godang.

Sebahagian lagi pengikut diarah mudik ke hulu Sungai Linggi untuk mencari penempatan sendiri, terpaksa berkampung di Kampung Belangkan dan Kuala Sawah, manakala yang ada di Siliau pula kekal di sana.

Disebabkan kematian Pendekar Raja Haji@Siaji di Pulau Hanyut, Rembau dan Raja Mahadi menyerah diri kepada Inggeris serta dibuang negeri ke Singapura, pengikut Raja Mahadi dan kerabat Selangor yang menyokongnya takut kembali ke kampung halaman di Klang, Selangor.

Dato’ Senara Muda Haji Yahya@Jaya yang dibawa semasa kanak-kanak oleh ayahnya tinggal di Kampung Binjai Klang, manakala Nyai Kutam, isteri kepada abangnya berasal dari Kampung Kuantan, setelah berkahwin menetap di Kampung Rantau Panjang, Klang.

Manakala emak saudaranya, Raja Mariam yang berkahwin dengan Radin Zainal Abidin@Kahar tinggal di Kampung Bukit Kuda@Tambang Kuda Klang.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, maka orang Klang disatukan menjadi Waris Biduanda Klang pada awal abad ke-20.

Seorang Dato’ Lembaga dilantik dengan gelaran DATO SENARA MUDA bersempena cap mohor miliknya SULTAN MUHAMAD KEBENARAN KEPADA DIRAJA MUDA SENARA. Manakala To’ Buapak pula dengan gelaran PERDANA MENTERI.

Semua Waris Biduanda Klang di Rantau, Siliau, Belangkan dan Kuala Sawah di bawah satu Dato’ Lembaga dan dibayar elaun bulanan oleh YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin YM Dato’ Menteri Kassim.

Waris Biduanda Klang dikatakan bergajah tunggal antara Kampung Landas dengan Kampung Pengkalan Ketam. Ini bererti YM Dato’ Akhirzaman Rantau tidak boleh masuk campur dalam urusan mereka kecuali diminta.

Mas kahwin bagi golongan perempuan Waris Biduanda Klang mengikut mas kahwin raja. Disebabkan ingin menyesuaikan diri dengan Adat Sungei Ujong, maka golongan wanita dan anak dari Klang dianggap sebagai Waris Biduanda Klang.

Manakala keturunan lelaki dari Klang yang berkahwin dengan penduduk tempatan, anaknya mengikut nasab ibu. Antara budaya dibawa dari Klang menjadi ikutan masyarakat Melayu Rantau ialah bertandu dan budaya berarak lilin merai pengantin. Sebelum 1960, waris lain cuma dibenar berdukung atas bahu.

Sekarang ini, Waris Biduanda Klang banyak didominasi keturunan Minangkabau dan Jawa yang dahulunya datang berdagang ke Rantau. Lelaki-lelaki daripada dua etnik itu memilih perempuan asal Klang sebagai isteri.


Nota 1: Dipanggil Biduanda Klang kerana kumpulan waris ini asal Istana Selangor atau kerabat Selangor. Perkataan ‘Biduanda’ merujuk orang istana. Ia bukan waris atau suku hasil perkahwinan campur pembesar dengan Orang Asli seperti dicanang dalam sejarah Negeri Sembilan.

Nota 2: Kecuali Radin Zainal Abdin @ Kahar dan saudara perempuannya isteri Sulong bernama Nyai Kutam diserap masuk Waris Biduanda Balai, yang mana Ibu Sokonya dibawa dari Suku Biduanda Balai Kampung Kundangan, Terachi, Kuala Pilah, tempat menjejak tapak YTM Dato’ Klana Petra.

Nota 3: Kahar bergelar Tok Udang Kahar kerana kulit badannya bersisik udang kemerahan serta bulu roma yang menyensang ke atas. Semasa ke Rantau, beliau membawa dayang bagi menjaga Nyai Kutam dan kereta kudanya.

Nota 4: Kahar dilantik menjadi Dato’ Lembaga bergelar Dato’ Melano Said bagi Waris Biduanda Balai dan menolak bayaran elaun oleh YTM Dato’ Kelana Petra. Manakala buapak Waris Biduanda Balai bergelar Menteri Penghulu.

Nota 5: Jalal dan isterinya Nyai Repah iaitu saudara kepada Nyai Kutam (nama samaran) turut berpindah dari Repah, Gemencheh untuk berkumpul dengan saudaranya Nyai Kutam dan Kahar di Rantau. Mereka turut masuk Waris Biduanda Balai menjadikan Waris Biduanda Balai tiga perut iaitu Perut Nyai Kutam, Perut Nyai Repah dan Perut Timah Kusau (Ibu Soko).

Nota 6: Tiga pusaka Waris Biduanda Klang ialah:- i)Dato Senara Muda (Kuala Sawah-Rantau); ii) Dato Paduka Menteri (Labu); iii) Dato Lela Bangsa (Labu Hilir)


Sumber penceritaan:
1) JMBRAS Vol 22, Sungei Ujong oleh J.M Gullick, 1949
2) Rantau;asal waris@suku Klang dan Biduanda Balai, Blog Kisah Rantau Negeri Sembilan, 1 September 2013
3) Sejarah Selangor 1766-1939 edisi semakan kedua pada 2004, J.M Gullick, 2022

Kongsikan:

Hak Cipta © Copyrights 2023. Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong. All Rights Reserved | Dchampion Creation | Dikemaskini pada 01 Januari 2024.

Share this:

Like this:

Like Loading...
error: Content is protected !!
Portal Rasmi Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong