Sejarah
sungei Ujong
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
100%
Yang tiada lengkang di-panas,
Yang tiada lapok oleh hujan;
Sa-tapak tiada lalu,
Sa-tapak tiada surut.
Hak Milik © Arkib Sungei Ujong - Terbitan Berfakta & Benar
Sepanjang sejarah kewujudan Negeri Sembilan, terdapat dua YAM Tuan Besar Seri Menanti yang dipecat dan dibuang negeri oleh YTM Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong. Salah seorang ialah YAM Tuan Sati yang hanya sempat bertahkta selama beberapa tahun sahaja.
Terdapat dua versi mengenai penyingkiran YAM Tuan Sati oleh YTM Dato’ Klana Petra. Versi sejarawan Inggeris, P.J Begbie dan T.J Newbold dan versi Melayu daripada riwayat Sungei Ujong sendiri dan Buyong Adil. Seorang lagi sejarawan Inggeris R.O Winstedt juga merakamkan perihal pemecatan YAM Tuan Sati sama seperti versi Melayu.
Versi P.J Begbie & T.J Newbold:
Pada 1824, YAM Tuan Besar Seri Menanti ketiga, YAM Tuan Lenggang Laut mangkat di Seri Menanti. Sehubungan itu, Undang Luak Sungei Ujong, YTM Dato’ Klana Petra Kawal menjemput Raja Labuh atau YAM Tuan Sati, putera kepada Yang Dipertuan Sultan Abdul Jalil Shalahudin Muningsyah, Raja Adat Kerajaan Pagarruyong untuk dipertuankan di Seri Menanti.
Sementara menunggu kedatangan YAM Tuan Sati ke Seri Menanti, YTM Dato’ Klana Petra Kawal melantik Raja Kerjan sebagai pemangku YAM Tuan Besar Seri Menanti. Penghulu Luak Ulu Muar, Dato’ Abdul Malek atau Dato’ Bongkok tidak bersetuju kerana sudah berjanji dengan YAM Tuan Lenggang Laut untuk menjadikan anaknya, Tunku Nasiruddin (Raja Radin) sebagai YAM Tuan Besar Seri Menanti.
YTM Dato’ Klana Petra Kawal menolak permohonan Dato’ Abdul Malek yang mahu Raja Radin dijadikan YAM Tuan Besar Seri Menanti. Akibatnya, YTM Dato’ Klana Petra Kawal menghantar angkatan perang ke Ulu Muar dan menewaskan Dato’ Bongkok seterusnya melantik dan menabalkan YAM Tuan Sati sebagai YAM Tuan Besar Seri Menanti pada 1828.
Kemudian YAM Tuan Sati berkahwin dengan Tunku Hitam binti Raja Asil. Ketika di Seri Menanti, YAM Tuan Sati merampas peninggalan pusaka kebesaran Almarhum YAM Tuan Lenggang Laut daripada Raja Radin. Dato’ Bongkok menemui Yang Dipertuan Muda Rembau Raja Ali untuk meminta bantuan merampas kembali peninggalan pusaka tersebut. Raja Ali melihat ia peluang untuk kepentingannya lalu bersetuju membantu Dato’ Bongkok.
Raja Ali dan Dato’ Bongkok mengambil peluang menyerbu ke Seri Menanti pada hari ketiadaan Raja Labuh dan merampas kembali peninggalan pusaka tersebut. Raja Labuh yang kemudiannya mengetahui hal tersebut mulai mengumpul pengikut menyerang Raja Ali di Rembau sehingga berundur ke Keru.
Sebahagian pengikut Raja Labuh adalah orang Rawa dan berlaku peristiwa di mana pengikutnya itu berlaku kejam dengan seorang wanita Rembau sehingga membawa maut. Peristiwa itu mengakibatkan kemarahan ramai penduduk dan memberikan kesan buruk kepada Raja Labuh di mana pengikut-pengikutnya mula meninggalkannya.
Akhirnya YTM Dato’ Klana Petra Kawal mendapat tahu hal tersebut dan memecat YAM Tuan Sati yang hanya sempat bertakhta selama dua tahun. YAM Tuan Sati yang kehilangan pengikut keluar dari Seri Menanti dan berpindah ke Naning sebelum pulang ke Sumatera.
Versi Riwayat Sungei, R.O Winstedt & Buyong Adil::
Selepas kemangkatan YAM Tuan Lenggang Laut pada 1824, YTM Dato’ Klana Petra Kawal melantik Raja Kerjan sebagai pemangku YAM Tuan Besar Seri Menanti sementara menunggu kedatangan Raja Labuh atau YAM Tuan Sati dari Pagarruyong. Pada masa sama, YTM Dato’ Klana Petra Kawal menolak permohonan Penghulu Luak Ulu Muar, Dato’ Abdul Malek atau Dato’ Bongkok yang mahu Raja Radin dijadikan YAM Tuan Besar Seri Menanti.
YTM Dato’ Klana Petra Kawal menghantar angkatan perang ke Ulu Muar menewaskan Dato’ Bongkok. Apabila YAM Tuan Sati tiba di Negeri Sembilan, YTM Dato’ Klana Petra Kawal melantiknya sebagai YAM Tuan Besar Seri Menanti.
Beberapa tahun kemudian, YAM Tuan Sati hadir ke temasya sabung ayam di Sungei Ujong. Pada temasya itu, ayam YTM Dato’ Klana Petra Kawal menang dan mendapat hadiah beberapa karung wang tembaga. YAM Tuan Sati mahu mengenakan cukai hadiah kemenangan YTM Dato’ Klana Petra Kawal sebanyak 2 1/2 sen lalu dititahkan Tengku Kecil Muda Laut untuk mengutip cukai tersebut.
Tindakan itu menyebabkan YTM Dato’ Klana Petra Kawal murka kerana YAM Tuan Besar Seri Menanti tidak boleh mengenakan cukai kepada mana-mana YTM Dato’-dato’ Undang Luak di Negeri Sembilan. Ia adalah pantang dan melanggar aturan adat waris dan raja-raja (raja tidak boleh mengenakan cukai terhadap raja lain).
Kemudian, YTM Dato’ Klana Petra Kawal memerintahkan Dato’ Bongkok menyerang dan menurunkan YAM Tuan Sati daripada tahkta Seri Menanti. Perintah YTM Dato’ Klana Kawal itu disampaikan kepada YTM Dato’ Undang Luak Johol.
Selepas dimaklumkan pemecatan YAM Tuan Sati sebagai YAM Tuan Besar Seri Menanti, YTM Dato’ Undang Luak Johol menjatuhkan hukuman buang negeri terhadap YAM Tuan Sati ke Teratak Buloh, Kampar, Sumatera.
YTM Dato’ Klana Kawal kemudiannya melantik dan menabalkan Raja Radin sebagai YAM Tuan Besar Seri Menanti. Sejak itu putuslah tali ke Siak dan tiadalah lagi bertuan ke Minangkabau.
Nota 1: Kuasa dan hak YTM Dato’-dato’ Undang Yang Empat memilih, melantik dan memecat YAM Tuan Besar Negeri Sembilan masih kekal sehingga kini dan termaktub dalam Fasal 7; Fasal 10 dan Fasal 11 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
Nota 2: Kuasa dan hak YTM Dato’-dato’ Undang Yang Empat memilih, melantik dan memecat pemangku YAM Tuan Besar Negeri Sembilan masih kekal sehingga kini dan termaktub dalam Fasal 12 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
Nota 3: YTM Dato’ Klana Petra Kawal adalah anakanda kepada YAM Dato’ Shahbandar Megat, Dato’ Shahbandar Sungei Ujong ke-7
Nota 4: Gambar foto menunjukkan makam YTM Dato’ Klana Petra Kawal di Pantai, Batu 8 berhadapan Balai Undang tradisional Luak Sungei Ujong
Nota 5: Versi Buyong Adil tidak memasukkan dua fakta iaitu cukai YAM Tuan Sati ke atas YTM Dato’ Klana Petra Kawal dan hukuman buang negeri oleh YTM Dato’ Undang Johol
Penceritaan berdasarkan sumber:
1. The Malayan Peninsula, Peter James Begbie, 1834
2. Journal of The Asiatic Society of Bengal Vol IV, No 41, Sketch of the Four Menangkabowe States, in the Interior of Malayan Peninsula, Thomas John Newbold, 1835
3. JMBRAS Vol 12, Negri Sembilan: The History, Polity and Beliefs of the Nine States, Richard Olaf Winstedt, 1934
4. The Dynastic Myth of Negri Sembilan (Malaya), Patrick Edward de Josselin de Jong, 1975
5. Yamtuan di Seri Menanti selepas Raja Melewar, Buyong Adil, Sejarah Negeri Sembilan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981
6. YM Dato’ Lela Bangsa Buapak Waris Klana di-Hilir, 2022